X
PEMAIN SMSM, Muhammad Hazim Nor Ismail berjaya melakukan try pada aksi separuh akhir. - FOTO L MANIMARAN
PEMAIN SMSM, Muhammad Hazim Nor Ismail berjaya melakukan try pada aksi separuh akhir. - FOTO L MANIMARAN
Razif Rosli


SEKOLAH Menengah Kebangsaan Seri Mersing (SMSM) mengejutkan juara bertahan Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) pada aksi final Kejohanan Ragbi Premier 7 Sebelah MCKK (Premier 7s MCKK) hari ini. 

Pasukan yang dibimbing Zulkefli Mohd Amin itu menampilkan aksi cemerlang dengan membenam hasrat SSTMI untuk muncul juara kali kelima apabila menang tipis 14-12. 

Kejayaan itu membolehkan SMSM yang menduduki tempat ketiga tahun lalu menjulang Trofi NJ Ryan buat kali pertama. 

Tuan rumah, Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) pula berpuas hati di tangga ketiga selepas menang 10-7 ke atas Sekolah Menengah Sains Pokok Sena (SAINA) pada perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat. 

Kejohanan selama tiga hari itu turut menerima kunjungan Tunku Datuk Seri Kamel Tunku Rijaludin mewakili Sultan Perak bagi menyampaikan hadiah kepada pemenang. 

Pada perlawanan itu, cuaca panas terik tidak menjejaskan rentak permainan SMSM apabila berjaya di hadapan menerusi try Muhamad Faiq Aslah Mohd Satar diikuti conversion. 

SSTMI kemudian bangkit melancarkan serangan dan berjaya melakukan try menerusi Mohd Nor Faisol Arshad, namun kesilapan mereka membolehkan SMSM melebarkan jurang mata menerusi try Muhamad Faiq Aslah untuk mendahului 14-5.

Tidak mudah mengaku kalah, semangat juang tinggi dipamerkan pemain SSTMI untuk merapatkan jurang berhasil di minit terakhir menerusi try Faiq namun gagal mengekang SMSM untuk dinobatkan juara baru tahun ini. 

Jurulatih SMSM, Shafie Buang, menyifatkan disiplin tinggi yang dipamerkan anak buahnya sepanjang permainan adalah kunci utama kemenangan. 

“Komitmen semua pemain saya mempengaruhi kejayaan mengekalkan rekod bersih tanpa kalah sepanjang kejohanan ini. Ini hadiah buat ketua jurulatih kami yang banyak mencurah khidmat bakti dalam memastikan kemenangan kali ini,” katanya. 

Sementara itu, pada perlawanan akhir kategori Plate, Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Gombak (INTEGOM) menewaskan Maktab Tentera Diraja (RMC) 29-0 untuk muncul juara. 

Bagi kategori Shield, Sekolah Sultan Alam Shah (SAS) muncul juara selepas menewaskan MRSM Kuala Terengganu (MRSMKT) 14-12 di final. 

Kategori Bowl pula menjadi milik Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Kuantan (INTEK) yang menewaskan Sekolah Menengah Kebangsaan King George V (KGV) 24-19.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Februari 2018 @ 7:56 PM