PEMAIN City, Ilkay Gundogan (tengah) terasa sedikit pelik untuk menentang Arsenal sebanyak dua kali dalam tempoh empat hari. - Foto AFP

PEMAIN tengah Manchester City, Ilkay Gundogan menjangkakan saingan lebih sengit daripada Arsenal apabila kedua-duanya sekali lagi bertembung dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL), Jumaat ini.

City meraih kemenangan selesa 3-0 ke atas Arsenal ketika final Piala Liga di Wembley, awal pagi semalam, sekaligus memberikan pengurusnya, Pep Guardiola trofi pertama di England.

Pendahulu EPL itu berpeluang untuk mengembalikan kelebihan 16 mata di puncak liga ketika mereka berkunjung ke Emirates.

“Kami tahu yang Arsenal boleh bermain dengan baik, mereka mempunyai pasukan yang kuat. Ia pasti akan menjadi aksi yang amat mencabar dan kami perlu bersedia,” kata  Gundogan kepada media British. 

“Pastinya ia tidak akan mudah. Cuma ia sedikit pelik untuk bermain menentang mereka sebanyak dua kali dalam tempoh empat hari.”

Selepas kunjungan ke Arsenal, City akan menanti kunjungan penyandang juara, Chelsea pada Isnin, disusuli pertembungan kedua peringkat 16 terakhir Liga Juara-Juara di Basel. 

“Masih ada banyak perlawanan besar perlu diharungi dan yang seterusnya ialah Jumaat ini, menentang pasukan yang sama. Ia tidak berhenti,” kata pemain antarabangsa Jerman itu. 

“Tiada langsung masa untuk menikmati rehat. Kini, kami perlu bersedia untuk perlawanan berikutnya dan cuba untuk mendapatkan satu lagi kemenangan.”

City akan mengharungi perlawanan timbal balik di Basel dengan kelebihan 4-0 yang diraih pada aksi pertama di Switzerland. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Februari 2018 @ 7:09 PM