HARRY Kane perlu tinggalkan Spurs jika mahu menjulang trofi. - Foto EPA

LONDON: Harry Kane perlu meninggalkan Tottenham Hotspur jika mahu menjulang trofi, kata bekas pengurus kelab Liga Perdana Inggeris itu, Andres Villas-Boas.

Kane memenangi anugerah Kasut Emas untuk dua musim berturut-turut dan memburu gelaran ketiganya apabila menghuni senarai teratas selepas meledak 24 gol dalam 28 perlawanan.

“Jika dia menginginkan trofi dan mahu dikenali, dia perlu meninggalkan Spurs, jika dia tidak memilikinya, tapi (mahu) pengiktirafan dan kestabilan, dia kekal di Spurs,” kata Villas-Boas yang mengendali Tottenham dari 2012 hingga Disember 2013 kepada media Britain.

“Spurs dalam pembikinan untuk menjadi pasukan bola sepak yang hebat, stadium (baharu), infrastruktur, pusat latihan, pasukan ini sedang meningkat, diuruskan dengan amat baik.

“Hanya trofi kabinet masih lagi kosong buat kelab hebat ini. Ia penghujung dalam pemburuan setiap pemain bola sepak, kegemilangan, kemenangan. Saya fikir bagi Harry, satu atau dua tahun lagi di Spurs bukanlah sesuatu yang buruk dan lihat bagaimana kelab meningkat...”

Tottenham menamatkan saingan liga di kedudukan tiga terbaik sejak dua musim lalu tetapi masih gagal memenangi sebarang trofi sejak menjulang Piala Liga pada 2008.

Villas-Boas juga berkata, beliau bukan pengurus terbaik bagi pemain berusia 24 tahun itu ketika dia mengemudi Tottemham apabila meminjamkan penyerang England itu ke kelab lain serta jarang menurunkannya dengan menjadikan Roberto Soldado sebagai peledak utama.

“Peningkatannya yang sebenar berlaku ketika Tim Sherwood, selepas beberapa bulan saya keluar (tapi) saya mempunyai beberapa memori yang baik dengannya,” kata Villas-Boas.

“Sudah tentu saya terkejut dengan perubahannya, sungguh berkuasa, penyerang yang memecah rekod.

“Kejayaannya adalah disebabkan usahanya sendiri, dia individu yang mempunyai dorongan kuat dan saya gembira bagaimana dia meningkat.” - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Februari 2018 @ 11:57 PM