PEMAIN JDT, Luciano Figueroa (kiri) ketika mengasak kubu Song Lam Nghe An dalam aksi Piala AFC di Stadium Vinh sebentar tadi. - Foto AFC
Devinder Singh
devinder@nst.com.my

 

KRISIS dalaman dihadapi Johor Darul Ta'zim (JDT) disusuli dengan kekalahan 2-0 di tangan kelab Vietnam Song Lam Nghe An dalam aksi Piala AFC di Stadium Vinh sebentar tadi.

Selepas pengendalinya Ulisses Morais meletak jawatan atas sebab peribadi, penyerang prolifik Jorge Pereyra Diaz pula meninggalkan kelab secara tiba-tiba ketika pasukan berhenti di Singapura dalam perjalanan ke Vietnam.

Pengendali sementara Raul Longhi turut kehilangan bisa di barisan depan apabila penjaring berbisa Gonzalo Cabrera tidak didaftarkan dalam pertandingan peringkat Asia itu manakala benteng kental Marcos Antonio tidak ikut serta dalam perlawanan ini.

JDT bergelut untuk mencipta peluang dengan ketiadaan Diaz dan Cabrera, manakala gandingan Safawi Rasid dan Ahmad Hazwan Bakri tidak banyak membantu Luciano Figueroa di barisan depan.

Malah JDT perlu berterima kasih kepada penjaga golnya Farizal Marlias yang bertindak cemerlang memastikan pasukan tidak pulang dengan kekalahan lebih besar pada perlawanan ketiga di tempat lawan musim ini selepas tewas kepada Muangthong United (5-2) dalam aksi kelayakan Liga Juara-Juara AFC dan Kuala Lumpur (1-0) dalam saingan Liga Super.

Farizal menafikan percubaan Michael Olaha – satu-satunya pemain import dalam skuad Song Lam – di awal permainan tetapi gagal menyelamatkan rembatan Van Duc pada minit ke-22 untuk gol pertama tuan rumah.

Farizal hampir tertewas sekali lagi lapan minit sebelum rehat apabila Ho Tuan Tai cuba memerangkapnya dengan bola lambung, tetapi percubaan pemain itu jauh tersasar.

Longhi memasukkan Aidil Zafuan Radzak menggantikan Afiq Fazail dengan bek tengah, Hariss Harun mengemudi barisan tengah bagi membolehkan Safiq Rahim naik ke atas.

Tandukan Safawi pada minit ke-55 mudah diselamatkan Le Van Hung, dan penjaga gol Song Lam itu turut menyelamatkan percubaan jarak jauh Figueroa.

Selepas menafikan percubaan Le The Cuong, Farizal sekali lagi tewas apabila Xuan Manh menyempurnakan serangan balas Song Lam dalam waktu kecederaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Februari 2018 @ 7:39 PM