PERSEORANGAN lelaki negara, Cheam June Wei mara ke pusingan kedua Kejohanan Kebangsaan selepas menundukkan Mohd Ziyad Md Tahad. - Foto HAIRUL ANUAR RAHIM
PERSEORANGAN lelaki negara, Cheam June Wei mara ke pusingan kedua Kejohanan Kebangsaan selepas menundukkan Mohd Ziyad Md Tahad. - Foto HAIRUL ANUAR RAHIM
Ferzalfie Fauzi

 

KUALA LUMPUR: Kejayaan muncul naib juara di Terbuka Austria minggu lalu menambah keyakinan perseorangan lelaki negara, Cheam June Wei untuk beraksi cemerlang di Kejohanan Kebangsaan di mana dia melepasi halangan pertama hari ini dengan mudah.

June Wei lolos ke pusingan kedua esok selepas menundukkan Mohd Ziyad Md Tahad 22-20, 21-13 dalam aksi yang berlangsung di Stadium Juara, Bukit Kiara.

"Memang saya berjaya memenangi perlawanan hari ini namun pada set pertama saya mengakui mempamerkan permainan sangat perlahan dan pada masa sama masih belum dapat menyesuaikan diri dengan keadaan gelanggang," katanya yang bakal berdepan Faiz Rozain esok.

Menurutnya, dia masih lagi merasai kehangatan aksi perlawanan akhir di Terbuka Austria minggu lalu walaupun tumpas kepada wakil India, Kashyap Parupalli.

"Ia satu pengalaman menarik buat saya minggu lalu terutama sekali selepas menyambut Tahun Baru Cina. Ini membuatkan saya bersemangat untuk terus mempamerkan permainan bertenaga bukan saja di Kejohanan kebangsaan malah di kejohanan lain selepas ini," katanya.

Selain Jun Wei, turut mara ke pusingan kedua ialah juara edisi 2015, Iskandar Zulkarnain Zainuddin yang menumpaskan Syahmi Irfan Nadzri 21-11, 21-10 dan bakal berdepan rakan sepelatih dalam skuad kebangsaan, Chong Yee Han yang sebelum itu menang 21-11, 21-19 ke atas Loo Bing Kun.

Pilihan keempat Soong Joo Ven pula tidak berdepan sebarang masalah untuk mengalahkan Atef Haikal Taufik dalam straight set 21-15, 21-18.

Joo Ven akan menentang bekas pemain kebangsaan, R Sathieshtharan yang sebelum itu mengalahkan Saffuan Nizam Datu Sardik 21-17, 21-10.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Mac 2018 @ 12:22 AM
Digital NSTP Subscribe