LONGHI sifatkan permukaan padang tidak rata punca JDT tewas kepada Song Lam Nghe An.
Devinder Singh

PENGENDALI sementara Johor Darul Ta’zim (JDT), Raul Longhi menyalahkan permukaan padang tidak rata di Stadium Vinh selepas anak buahnya tumbang 0-2 di tangan Song Lam Nghe An pada aksi Piala AFC, petang semalam.

Mengambil alih pasukan selepas Ulisses Morais meletakkan jawatan susulan masalah peribadi, Longhi menyifatkan permukaan padang itu menyukarkan pemainnya untuk beraksi seperti biasa.

Kelab dari Vietnam itu berjaya mengekang skuad Harimau Selatan daripada melakukan sebarang percubaan tepat pada babak pertama aksi Kumpulan H dan tuan rumah mendahului pada minit ke-22 menerusi jaringan Phan Van Duc.

Longhi terpaksa mengeluarkan Afiq Fazail sebelum tamat babak pertama dengan membawa masuk Aidil Zafuan Radzak bagi membolehkan Hariss Harun dan Safiq Rahim bebas menyerang namun pertukaran itu tidak memberi sebarang impak.

“Pada separuh masa pertama, kami mempunyai masalah di bahagian tengah,” katanya menerusi laman Facebook JOHOR Southern Tigers selepas tewas aksi ketiga di tempat lawan, musim ini.

“Keadaan padang juga tidak berapa bagus bagi kami. Kami cuba untuk bermain hantaran pendek namun keadaan padang agak menyukarkan. Jika kami bermain hantaran jauh pula, ia akan memudahkan pasukan lawan.”

Bagaimanapun, Longhi tidak menyatakan sama ada kehilangan Jorge Pereyra Diaz dan juga Gonzalo Cabrera yang tidak didaftarkan untuk saingan itu menjejaskan prestasi pasukannya.

Safawi Rasid dan Ahmad Hazwan Bakri menggantikan tempat kedua-dua pemain Argentina itu namun gagal memberi sokongan kepada Luciano Figueroa yang mengetuai jentera serangan.

JDT lebih menguasai perlawanan babak kedua, namun mereka hanya dapat menguji gawang tuan rumah menerusi percubaan jarak jauh Figueroa yang berjaya ditepis penjaga gol.

Sebaliknya, Song Lam meledak gol kedua pada masa tambahan menerusi Pham Xuan Manh namun penjaga gol JDT, Farizal Marlias tetap beraksi hebat selepas menyelamatkan beberapa percubaan berbahaya.

“Prestasi pemain kami pada separuh masa kedua adalah lebih baik daripada separuh masa pertama. Song Lam adalah pasukan yang hebat.

“Namun apabila kita bermain sekali lagi di Larkin, saya merasakan ia akan menjadi satu perlawanan yang berbeza kerana kami mempunyai padang yang baik untuk bermain,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Mac 2018 @ 12:20 AM