KIM Swee (kanan) mahu uji pemain 21 dalam saingan Piala Ulang Tahun PSSI 2018.
Aziman Rosdi


JURULATIH Datuk Ong Kim Swee membuat keputusan untuk tidak membawa skuad bawah 23 tahun (B-23) ke saingan Piala Ulang Tahun PSSI 2018 (PSSI Anniversary Cup 2018) di Stadium Pakansari, Jawa Barat, Indonesia, pada 27 April-6 Mei, sebaliknya akan menguji pemain baru berusia 21 tahun.

Kim Swee berkata, kejohanan jemputan empat penjuru membabitkan skuad B-23 Indonesia, Bahrain dan Korea Utara itu akan menjadi pendedahan terbaik buat pemain muda yang bakal diserapkan ke dalam skuad negara bagi aksi kelayakan Kejohanan AFC B-23 tahun depan.

“Saya dan pihak pengurusan membuat keputusan untuk tidak membawa pemain skuad B-23 yang beraksi di Kejohanan AFC di China sebelum ini sebaliknya hanya menggunakan pemain B-21.

“Berikutan saingan Liga Malaysia yang sedang berlangsung ketika itu, agak sukar untuk saya memanggil pemain B-23 menyertai pasukan. Pemain B-21 ini juga adalah pemain baru yang tiada dalam skuad B-23 sebelum ini dan akan kami nilai di kejohanan itu nanti sebagai persiapan pasukan bagi kelayakan Kejohanan AFC tahun depan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Kim Swee bersama penolong jurulatih, Brad Maloney kini berada di Sepanyol menjalani latihan kejurulatihan bersama kelab Atletico Madrid selama sebulan.

Biarpun ketiadaannya, proses mengenal pasti pemain B-21 sedang dilakukan pembantu lain yang diketuai Khan Hung Meng sebelum sesi latihan pusat pertama pada 18 hingga 27 Mac ini.

“Kami sedang memantau pemain yang akan dipanggil bagi sesi latihan pertama pada 18 Mac ini. Kemungkinan kami akan memanggil 30 pemain bagi sesi latihan itu nanti. Selepas itu kami merancang untuk mengadakan satu lagi sesi latihan pada April, seminggu sebelum kejohanan bermula,” kata Kim Swee yang membimbing pasukan B-23 melakar sejarah mara ke suku akhir Kejohanan AFC B-23 di China, Januari lalu.

Tambahnya, pemain B-21 yang menyerlah di kejohanan itu nanti kemungkinan akan diserapkan ke dalam skuad B-23 bagi mengharungi Sukan Asia juga di Indonesia pada Ogos depan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Mac 2018 @ 8:28 PM