MOHAMMED Suffian resah cabaran skuad ATM menjelang aksi pusingan kedua Piala FA, malam esok. - FOTO FAIL

 

SKUAD Pahang tidak sesekali akan memperkecilkan kemampuan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang akan bertandang ke Stadium Darul Makmur untuk pusingan kedua Piala FA di Stadium Darul Makmur malam esok.

Pengurus pasukan Datuk Mohammed Suffian Awang berkata, dengan rekod ATM yang pernah mengecap kejayaan dalam saingan Liga Super dan Liga Perdana sebelum ini, pemain perlu bekerja keras dan fokus sepanjang 90 minit perlawanan.

 Menurutnya, pemain Tok Gajah tidak boleh memandang rendah keupayaan lawan yang beraksi dalam saingan Liga FAM musim ini.

"Saya nasihatkan pemain supaya mempamer prestasi terbaik dan tidak memperkecilkan kemampuan lawan yang mempunyai rekod cemerlang dalam saingan Liga Super dan Liga Perdana beberapa musim lalu.

"Saya harap pemain bijak memanfaatkan peluang yang ada untuk memastikan kejayaan melangkah ke pusingan ketiga saingan ini.

"Biarpun ATM tidak dibarisi pemain import, ia tidak bermakna memberi kelebihan kepada Pahang kerana keputusan boleh berubah jika tersilap langkah," katanya.

Dalam perkembangan sama, Suffian mengharapkan sokongan padu daripada peminat skuad Tok Gajah dalam memberi suntikan semangat kepada pemain.

"Tanpa sokongan peminat, skuad Pahang tidak akan mencapai keputusan terbaik seperti yang pernah dipersembahkan dalam saingan Liga Super.

 "Apabila penyokong datang memberi sokongan, ia sudah pasti memberi semangat dan lebih dekat antara pemain dan peminat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Mac 2018 @ 1:44 PM