IZZAT Zaidi ceria selepas muncul juara kelas Underbone 150cc di Litar Antarabangsa Chang, Buriram, sebentar tadi.
IZZAT Zaidi ceria selepas muncul juara kelas Underbone 150cc di Litar Antarabangsa Chang, Buriram, sebentar tadi.

PELUMBA SuperSports 600cc negara, Azlan Shah Kamaruzaman bermula positif dalam usaha mempertahankan gelaran keseluruhan apabila menamatkan Perlumbaan 1 di tempat ketiga pada pusingan pembukaan Kejuaraan Motosikal Asia Idemitsu (ARRC) di Litar Antarabangsa Chang, Buriram, Thailand, sebentar tadi. 

Pelumba Manual Tech KYT Kawasaki Racing yang memulakan perlumbaan dari petak keempat itu menamatkan 18 pusingan perlumbaan dengan masa keseluruhan 30 minit 03.889 saat yang menyaksikan pelumba wildcard tempatan, Thitipong Warokorn (Core Kawasaki Thailand Racing Team) muncul juara, dengan catatatn 29'59.35s.

Pelumba Australia, Anthony West (Webike IKAZUCHI Racing) muncul naib juara dengan masa keseluruhan 30’03.509s, manakala seorang lagi pelumba negara, Mohd Zaqhwan Zaidi (Musashi Boon Siew Honda Racing) yang bermula dari petak pertama berada di kedudukan keempat dengan masa 30’04.779s. 

Meskipun gagal menepati sasaran untuk memenangi perlumbaan, Azlan bagaimanapun berpuas hati dengan 16 mata yang dipungut hasil kemenangan di tempat ketiga pada hari ini.

“Saya tetap gembira kerana dapat menamatkan perlumbaan di podium," kata Azlan

"Mata yang dipungut hari ini sangat penting dalam usaha saya dan pasukan untuk mengekalkan gelaran musim lalu.

"Kami akan mengkaji dan melihat di manakah kelemahan pada Perlumbaan 1, supaya dapat mempamerkan aksi lebih baik pada Perlumbaan 2 esok."

Sementara itu, Mohd Izzat Zaidi Salehan (RCB Yamaha Y Y Pang Racing) muncul juara kelas Underbone 150cc dengan masa keseluruhan 16’40.311s mengatasi rakan senegara, Md Affendi Rosli (Team One For All) di kedudukan kedua, 16’41.100s.

Pelumba Indonesia, Wahyu Aji Trilaksana (YAMAHA Racing Indonesia) di kedudukan ketiga dengan masa 16:47.597s. Perlumbaan 2 ARRC dijadual bersambung esok.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Mac 2018 @ 9:02 PM