AZIZULHASNI Awang memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia susulan kegagalannya meraih sebarang pingat pada Kejohanan Trek Berbasikal Dunia UCI 2018. - Foto FB AZIZULHASNI AWANG


AZIZULHASNI Awang memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia susulan kegagalannya meraih sebarang pingat sama ada dalam acara keirin mahupun pecut pada Kejohanan Trek Berbasikal Dunia UCI 2018.

Pelumba yang terkenal dengan jolokan 'The Pocketrocketman' berusia 30 tahun itu menegaskan mulanya dia sendiri tidak percaya dan sukar untuk menerima hakikat kegagalannya meraih kemenangan dalam kejohanan terbabit.

Begitupun, pelumba dari Dungun, Terengganu itu percaya kegagalannya mampu menjadi motivasi dan pembakar semangat untuk meraih kejayaan pada Sukan Komanwel dan Sukan Asia 2018 nanti.

"Dalam acara pecut hari ini (awal pagi tadi), saya hanya mampu mencatat 10:024 saat (s) pada pusingan kelayakan dan ia adalah lebih perlahan daripada catatan peribadi terbaik 9.77s dan rekod baharu Asia dibuat saya pada Kejohanan Lumba Basikal Asia 2018, bulan lalu. 

"Keadaan jelas menunjukkan bahawa masalah jangkitan virus memang memberi impak besar kepada prestasi saya.

“Walaupun saya berjaya ke pusingan pertama namun akhirnya saya terpaksa mengalah kepada pelumba Britain, Jack Carlin yang menjadi pelumba terpantas dalam pusingan pertama.

"Selepas kehilangan perlumbaan yang sukar di keirin sehari sebelumnya, hari ini saya terpaksa menghadapi kenyataan bahawa saya tidak berada di podium dalam Kejohanan Dunia tahun ini," katanya dalam satu kenyataan menerusi laman Facebooknya di sini, hari ini.

Selepas gagal mempertahankan kejuaraan dunia dalam acara keirin, Khamis lalu, Azizulhasni terus dipalit duka apabila terkandas di pusingan awal perlumbaan pecut, awal pagi tadi.

Selain Azizulhasni, seorang lagi pelumba negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom turut berdepan nasib yang sama.

Selepas tampak goyah di pusingan kelayakan, Azizulhasni kemudian terkandas di pusingan 1/16 di Velodrom Omnisport, Apeldoorn. 

Dia hanya dipisahkan dengan perbezaan 0.052 saat (s) berbanding pelumba berkenaan yang mencatatkan masa 10.406s.

Di peringkat kelayakan, pelumba itu turut sekadar menduduki tempat ke-28 keseluruhan dengan mencatat masa 10.072s untuk muncul selaku pelumba terakhir layak ke pusingan berikutnya.

Shah Firdaus dalam pada itu terkandas lebih awal apabila gagal menempatkan diri dalam pusingan 1/16 pusingan selepas sekadar menamatkan cabaran di kedudukan kedua tercorot daripada 35 pelumba dengan masa 10.293s.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Mac 2018 @ 11:35 PM