PEMAIN Spurs, Son Heung-Min meledak dua kali ketika menang ke atas Huddersfield untuk lebarkan rekod tanpa kalah mereka di Wembley kepada 15 perlawanan dalam semua pertandingan. - Foto Reuters

PENGENDALI Tottenham Hotspur, Mauricio Pochettino percaya dengan menjadikan gelanggang sementara mereka, Wembley sebagai kubu mampu memberikan tiket ke suku akhir Liga Juara-Juara apabila Juventus bertandang ke sana Rabu ini.

Spurs mempunyai kelebihan ke atas juara Itali itu, yang mara ke final sebanyak dua kali dalam tiga edisi terakhir, selepas bangkit daripada ketinggalan 2-0 untuk seri 2-2.

Faktor Wembley dikatakan sebagai salah satu kunci kegagalan Spurs di pentas Eropah musim lalu apabila mereka tersingkir daripada Liga Juara-Juara dan Liga Europa.

Bagaimanapun anak buah Pochettino sudah mula menyesuaikan diri di laman skuad kebangsaan England itu sementara kerja pembinaan stadium baharu kelab berkapasiti 62,000 penonton siap.

Son Heung-Min meledak dua kali dalam kemenangan 2-0 ke atas Huddersfield semalam, melebarkan rekod tanpa kalah mereka di Wembley kepada 15 perlawanan dalam semua pertandingan.

Ia termasuk kemenangan ke atas Real Madrid, Manchester United dan Arsenal.

“Saya amat gembira. Saya rasa ia deretan keputusan menakjubkan di laman sendiri,” kata Pochettino.

“Kami boleh katakan yang Wembley adalah gelanggang kami dan ia amat penting kepada pasukan.

“Musim lalu perasaannya berbeza tetapi sekarang saya rasa bagi kami ia seperti rumah sendiri. Pasukan rasa selesa bermain di sini dan apabila keputusannya positif semuanya menjadi lebih baik.”

Kemenangan ke atas Huddersfield mengukuhkan kedudukan Spurs untuk kembali ke Liga Juara-Juara musim depan apabila mereka melebarkan jurang dengan Chelsea di tangga kelima kepada lima mata. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Mac 2018 @ 3:00 PM