RUFINO (kanan) diasak dua pemain MOF pada perlawanan Piala FA 2018 di Stadium Cheras. FOTO/LUQMAN HAKIM ZUBIR
Zulfaizan Mansor


SELANGOR mara ke pusingan ketiga Piala FA selepas menewaskan MOF FC 3-0 pada aksi di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, di sini, sebentar tadi.

Walaupun mara, skuad The Red Giants tampak sedikit bergelut untuk memecahkan kebuntuan jaringan biarpun lawannya itu hanya beraksi dalam Liga FAM.

Selangor dilihat lebih banyak melakukan serangan ke kubu MOF sejak perlawanan bermula, namun kegagalan jentera serangan menyudahkan beberapa peluang terhidang menyaksikan kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan selepas tamat babak pertama.

Penyerang veteran, Amri Yahyah akhirnya menceriakan ribuan penyokong The Red Giants apabila membuka tirai jaringan pada minit ke-70 selepas menyudahkan hantaran Ilham Udin Armaiyn.

Selang 10 minit kemudian, skuad kendalian P Maniam dihadiahkan sepakan penalti selepas Daniel Ong menampan bola menggunakan tangan dan peluang itu tidak disia-siakan Rufino Segovia untuk meledak gol kedua.

Syahmi Safari menambah derita MOF apabila menyudahkan hantaran lambung Amri pada masa kecederaan untuk mengesahkan kemenangan 3-0 Selangor.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Mac 2018 @ 11:28 PM