PEP GUARDIOLA
Reuters

MANCHESTER: Pengurus Manchester City, Pep Guardiola berkata dia tidak pernah membayangkan pasukannya akan meraih gelaran Liga Perdana seperti yang mereka sedang lakukan musim ini.

City kini 18 mata di atas pasukan kedua Liverpool selepas menewaskan Chelsea 1-0 di Stadium Etihad awal pagi tadi dan hanya memerlukan empat kemenangan daripada baki sembilan perlawanan untuk memastikan gelaran menjadi milik mereka.

Ditanya sama ada dia merasakan dominasi itu boleh diteruskan, Guardiola berkata: “Sebelum ini? Tidak mungkin. Tidak mungkin, tidak. Siapa boleh mempercayainya? Saya rasa jika anda tanya pemain, mereka juga (tidak mempercayainya),” katanya.

“Ia bukan hanya keputusan hari ini tetapi cara kami bermain, hari ini kami menunjukkannya sekali lagi. Kami menunjukkan keinginan yang sama seperti di Stamford Bridge. Itulah yang paling menggembirakan saya.

“Untuk memiliki jurang 25 berbanding Chelsea, 33 berbanding Arsenal. Tottenham, Liverpool dan United, mereka memiliki keputusan yang bagus dan sentiasa mengejar. Setakat ini kami sangat bagus.

“Saya rasa ia sebab cara kami bermain. Cara kami bermain hari ini seakan sama dengan apa yang kami lakukan (musim ini),” katanya.

Berbaki sembilan perlawanan, City yang kini mengumpul 78 mata, berpeluang menjadi pasukan pertama memecah sempadan 100 mata dalam sejarah liga teratas England.

Guardiola bagaimanapun berkata, fokusnya bukan untuk mencari rekod tetapi memastikan kejuaraan.

“Kami tidak bermain untuk rekod. Rekod akan sentiasa menjadi penamat apa yang anda lakukan tetapi ia bukan perkara utama.

“Apa yang penting ialah menjadi juara. Saya tidak pernah bercakap dengan pemain mengenai rekod. Minggu depan bertemu Stoke kami akan cuba bermain sama seperti kami lakukan sepanjang musim. Selepas itu kami akan lihat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Mac 2018 @ 7:14 AM