KETUA Bahagian Futsal dan Bola Pantai AFC, Brian Johnson membuat pengundian pasukan futsal negara yang bertanding sempena Majlis pengundian kejuaraan Futsal Wanita AFC Thailand 2018 di AFC House, Bukit Jalil. FOTO/ ZULFADHLI ZULKIFLI
KETUA Bahagian Futsal dan Bola Pantai AFC, Brian Johnson membuat pengundian pasukan futsal negara yang bertanding sempena Majlis pengundian kejuaraan Futsal Wanita AFC Thailand 2018 di AFC House, Bukit Jalil. FOTO/ ZULFADHLI ZULKIFLI
Aziman Rosdi


JURULATIH skuad futsal wanita negara, Addie Azwan Zainal menganggap Vietnam bakal menjadi pencabar terkuat mereka untuk melepasi halangan awal di Kejuaraan Futsal AFC di Thailand dari 2 hingga 12 Mei depan.

Berdasarkan undian yang berlangsung hari ini, selain Vietnam, Malaysia yang menduduki tempat keempat pada edisi pertama tiga tahun lalu di Nilai turut akan bersaing dengan Taiwan dan Bangladesh dalam Kumpulan B.

Menurut Addie yang dilantik sebagai jurulatih pada 1 Mac lalu, laluan anak buahnya untuk melangkah ke pusingan seterusnya banyak bergantung kepada aksi menentang Vietnam.

“Berdasarkan undian, kita tahu (kekuatan) cuma Vietnam, kali terakhir kita jumpa mereka di Sukan SEA Kuala Lumpur (seri 1-1). Taiwan dan Bangladesh adalah pasukan baru, jadi peluang untuk Malaysia ke pusingan kedua bergantung kepada perlawanan dengan Vietnam.

“Pada kejohanan pertama di Malaysia, kita berjaya ke separuh akhir dan kita cuba ulangi pencapaian itu dan kemudian ke final,” katanya ketika ditemui selepas selesai majlis undian di AFC House, hari ini.

Pada 2015, skuad negara mara ke separuh akhir namun dibelasah Jepun 8-1 dan tewas 1-4 di tangan Thailand pada penentuan tempat ketiga.

Addie yang juga bekas pemain kebangsaan berkata, beliau akan melakukan perubahan dengan hanya mengekalkan tujuh pemain daripada skuad Sukan SEA Kuala Lumpur untuk beraksi di Thailand.

“Pada 8 Mac ini, seramai 26 pemain akan dipanggil bagi kem latihan pusat selama seminggu dan kemudian saya akan gugurkan enam pemain.

“Saya rancang membawa pemain ke Vietnam bagi persiapan, tapi kita terpaksa batalkan sebab mereka diundi satu kumpulan, jadi mungkin kita ke Indonesia, dua minggu sebelum Kejohanan AFC.

“Jika kita melakukan persiapan yang baik, mungkin ada peluang ke final, atas kertas Jepun, Thailand, Iran dan Malaysia antara pasukan pilihan ke separuh akhir lagi sekali, tapi kita kena berhati-hati mungkin Vietnam boleh buat kejutan,” katanya.

Undian Kejuaraan Futsal Wanita AFC 2018

Kumpulan A: Thailand, Hong Kong, Indonesia, Macau

Kumpulan B: Malaysia, Vietnam, Taiwan, Bangladesh

Kumpulan C: Jepun, China, Bahrain, Lubnan

Kumpulan D: Iran, Uzbekistan, Turkmenistan

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Mac 2018 @ 6:51 PM
Digital NSTP Subscribe