AZIZULHASNI tekad mahu padam duka di Belanda dengan meraih pingat di Sukan Komanwel.
BERNAMA

SEPANG: Jaguh berbasikal negara, Mohd Azizulhasni Awang mahu melupakan kekecewaan pada Kejohanan Trek Dunia UCI di Belanda, Jumaat lalu dan sebaliknya ingin bangkit mempersiapkan diri ke Sukan Komanwel Gold Coast bulan depan.

Masalah kesihatan membelenggu pelumba berusia 30 tahun itu ketika berusaha untuk mempertahankan ‘Jersi Pelangi’ selaku juara dunia dalam acara keirin yang menjadi kegemarannya.

“Hanya lebih kurang sebulan saja lagi untuk melakukan persiapan terakhir menghadapi Sukan Komanwel.

“Saya harap dalam tempoh itu, masalah jangkitan virus dapat pulih sepenuhnya dan saya dapat terus menjalani latihan,” katanya sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini hari ini.

Azizulhasni berkata minggu pertama sekembali dari Kejohanan Trek Dunia itu adalah untuk proses pemulihan manakala latihan akan diadakan pada minggu berikutnya.

“Kami (semua pelumba trek) akan menjalani latihan di Nilai (Velodrom Nasional) sebelum berlepas ke Brisbane, Australia, pada 29 Mac ini,” katanya.

“Dalam tempoh itu (latihan di Nilai), tidak banyak yang boleh dilakukan. Mungkin pelarasan, menggilap semula aspek kelajuan dan perbaiki kelemahan yang ada.

“Saya betul-betul berharap dapat kembali pulih sepenuhnya dan berada di tahap seperti mana ketika beraksi dalam Kejohanan Trek Asia,” katanya.

Mengenai Sukan Komanwel dari 4 hingga 15 April ini, Mohd Azizulhasni berkata berdasarkan kepada pemerhatian beliau semasa berada di Apeldoorn, pelumba dari Australia, England, Scotland dan Ireland adalah pesaing yang perlu diberi perhatian.

Pencapaian Mohd Azizulhasni dalam Sukan Komanwel ialah pingat gangsa dalam acara keirin di Glasgow, Scotland pada 2014 dan pingat gangsa acara pecut berpasukan di New Delhi pada 2010.

Sementara itu, seorang lagi pelumba elit negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom bertekad mahu mencipta kejayaan dalam penampilan sulungnya pada Sukan Komanwel nanti.

Walaupun turut dijangkiti demam ketika beraksi di Apeldoorn, ia tidak melemahkan semangat pelumba berusia 21 tahun untuk segera pulih membawa cabaran Malaysia dalam temasya Sukan Komanwel kali ini.

“Setakat ini saya belum pulih 100 peratus lagi. Saya berharap dapat pulih sepenuhnya dalam masa terdekat ini dan kembali menjalani latihan.

“Saya mempunyai sasaran sendiri dalam Sukan Komanwel pertama saya. Saya mahu menamatkan saingan dengan kemenangan podium,” katanya.

Pada penampilan pertama dalam temasya empat tahun sekali itu, Muhammad Shah Firdaus akan bersaing dalam acara keirin, pecut dan 1 kilometer (km) ujian masa.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Mac 2018 @ 12:21 AM