PASUKAN tarik tali Malaysia sedia hadapi cabaran di Xuzhou, China, bermula Khamis ini.
BERNAMA

KUALA LUMPUR: Malaysia akan menghantar kontinjen terbesar ke Kejohanan Tarik Tali Dunia Dalam Dewan (TWIF) 2018, di Xuzhou, China, bermula Khamis ini.

Presiden Persatuan Tarik Tali Malaysia (MTWA), Zolkefli Ahmat berkata buat julung kalinya persatuan itu menghantar kontinjen yang membabitkan empat pasukan terdiri daripada lebih 90 peserta.

“Acara di China itu membabitkan 25 negara dan MTWA harap dapat mengharumkan nama Malaysia dengan menjuarai sekurang-kurangnya satu kategori,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran kontinjen Malaysia, di sini malam ini.

Majlis itu disempurnakan oleh Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, yang juga Anggota Parlimen Titiwangsa. Turut hadir Exco Pelancongan Kedah, Datuk Mohd Rawi Abd Hamid.

Malaysia akan bertanding dalam tiga kategori iaitu wanita bawah 23 tahun, dua pasukan untuk kategori lelaki bawah 23 tahun dan satu pasukan bagi kategori 23 tahun dan ke atas.

Zolkefli berkata MTWA turut bercadang untuk menjadikan tarik tali sebagai satu sukan di institusi pengajian tinggi(IPT) di negara ini dan dijangka mula dilaksanakan September ini.

Sementara itu, Johari berkata penyertaan kontinjen negara itu membuktikan kepada dunia bahawa Malaysia mempunyai bakat dalam pelbagai sukan.

Beliau berkata, Malaysia pernah bertanding di Thailand dan Mongolia tetapi inilah kali pertama menghantar kontinjen terbesar ke peringkat antarabangsa.

Katanya, Malaysia juga buat pertama kali akan menjadi tuan rumah kejohanan tarik tali peringkat antarabangsa membabitkan 450 negara di Langkawi pada 23 Julai ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Mac 2018 @ 12:54 AM