X
MUHAMMAD Zawawi Azman
MUHAMMAD Zawawi Azman

Kuala Lumpur: Muhammad Zawawi Azman bakal mengetuai pelumba Team Sapura Cycling (TSC) untuk menghadapi cabaran 21 pasukan lain sempena pelumbaan Le Tour de Langkawi 2018 (LTdL) mulai 18 hingga 25 Mac ini.

Selain itu, TSC juga bakal diwakili oleh lima pelumba lain iaitu Aiman Cahyandi dari Indonesia; Dylan Page (Switzerland); Victor Nino dan Jahir Perez (Columbia), dan seorang lagi pelumba tempatan, Muhamad Nur Aiman Mohd Zariff.

Pengurusnya, Sayuti Zahit, berkata pemilihan pelumba itu dibuat berdasarkan penilaian dan pretasi mereka ketika menyertai beberapa siri pelumbaan sebelum ini termasuk Kejohanan Lumba Basikal Asia (ACC) Myanmar - Lebuh Raya; Jelajah Indonesia; Grand Prix Alanya, Tour of Antalya dan Tour of Mediterranean di Turki yang berakhir, semalam.

Malah, Sayuti berkata secara keseluruhannya beliau amat berpuas hati dengan peningkatan pretasi semua pelumba TSC yang beraksi di Grand Prix Alanya, Tour of Antalya dan Tour of Mediterranean kerana ia memberi peluang kepada mereka untuk memperbaiki kelemahan menjelang pelumbaan LTdL tidak lama lagi.

“Saya melihat usaha ini penting kerana kita menyasarkan untuk menduduki kelompok lapan pasukan terbaik dalam pelumbaan LTdL kali ini berbanding 10 terbaik tahun lalu menerusi kombinasi dan gandingan mantap semua pelumba tempatan dan luar negara.

“Kita juga optimis bahawa Perez mampu melakar kejutan untuk muncul pemenang jersi Raja Bukit 2018 berdasarkan prestasi semasa dan keupayaannya menduduki tangga kedua keseluruhan bagi kategori sama tahun lalu,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Sayuti berkata pihaknya yakin TSC menyasarkan untuk menduduki tempat ketiga terbaik bagi kategori pasukan dan pelumba Asia pada LTdL 2018 nanti berdasarkan persiapan rapi dibuat, sejak awal tahun lagi.

Ini terbukti apabila TSC menghantar semua pelumbaannya menyertai pelbagai pelumbaan berbentuk jelajah dan pelumbaan dua hari termasuk ACC Myanmar, Jelajah Indonesia serta tiga perlumbaan di Turki, baru-baru ini.

“Selepas perlumbaan Tour of Mediterranean kita akan umumkan nama enam pelumba tempatan dan asing yang bakal dipilih mewakili TSC ke saingan LTdL mulai 18 hingga 25 Mac ini.

“Kita juga berhasrat untuk menghantar mereka yang tidak terpilih ke LTdL untuk menyertai Tour of Taiwan dari 11 hingga 15 Mac nanti,” katanya.

LTdL yang meliputi perlumbaan sejauh 1,341 kilometer (km) itu bakal disertai 22 pasukan termasuk dua berstatus Pro Tour iaitu Astana Pro Team dari Kazakhstan dan Dimension Data dari Afrika Selatan.

Selain itu, LTdL juga bakal disertai enam pasukan berstatus Pro Continental iaitu Wilier Triestina Selle Italia; Androni Giocattoli Sidermec dan Bardiani CSF dari Itali; Manzana Postobon (Colombia); CCC Sprandi Polkowice (Poland) dan Rally Racing dari Amerika Syarikat.

Perlumbaan kali ini juga disertai 10 pasukan berstatus International Continental terdiri daripada Mitchelton BikeExchange, Hengxiang dan Gian Cycling Team dari China; Bennelong Swisswelnes dan St George Continental Cycling Team dari Australia; Continental Cycling Team (Thailand).

Pasukan lain ialah 7Eleven Cliqq Roadbike dari Filipina; Kinan Cycling Team (Jepun); KFC Cycling Team (Indonesia) dan KPSO Bianchi Asia (Korea Selatan) serta empat pasukan tempatan termasuk Terengganu Cycling Team (TSG), Team Sapura Cycling (TSC), skuad berbasikal kebangsaan Malaysia dan pendatang baharu, Forca Amskins Racing.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Mac 2018 @ 7:42 AM
Digital NSTP Subscribe