PEMAIN Kedah jalani latihan sebelum aksi menentang Pahang. -Foto fail
Izzali Ismail


KEDAH yakin pertemuan menentang naib juara Piala FA 2017, Pahang pada pusingan ketiga nanti bakal berlangsung sengit serta menarik.

Penolong pengurus Kedah, Haris Che Mat berkata, Lang Merah menyambut keputusan undian semalam dengan hati terbuka walaupun mereka bakal bertemu skuad gergasi Pantai Timur berkenaan.

Beliau berkata, perlawanan itu bakal menjadi tumpuan kerana kedua-dua pasukan mempunyai ramai penyokong setia.

“Kami menerima keputusan undian itu dan akan melakukan persiapan rapi serta terbaik untuk menghadapi skuad kendalian Dollah Salleh.

“Rentak dan corak permainan kedua-dua pasukan sentiasa menjadi tumpuan bukan saja untuk penyokong malah pemerhati seluruh negara.

“Pahang mempunyai kelebihan beraksi di laman sendiri tapi kali ini saya yakin pemain kami mampu memberi saingan terbaik berbekalkan pengalaman yang ada,” katanya.

Sementara itu, menyentuh aksi Liga Super menentang Kuala Lumpur, Sabtu ini, Haris berkata, Kedah tidak mahu menjadi mangsa kedua selepas lawan berjaya menumbangkan skuad Johor Darul Ta'zim (JDT), 11 Februari lalu.

“Semangat pemain dan pasukan semakin melonjak selepas menempa kejayaan menewaskan Negeri Sembilan 1-0 dan layak ke pusingan ketiga Piala FA.

“Misi kita seterusnya adalah memburu tiga mata selepas bangkit mencipta tiga kemenangan bermula dengan kemenangan ke atas PKNP, PKNS dan yang terbaru dalam aksi Piala FA menentang Negeri Sembilan.

“Saya yakin ketua jurulatih, Ramon Marcote mempunyai ramuan serta strategi terbaik untuk Kedah bagi menghadapi kedua-dua perlawanan itu.”

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Mac 2018 @ 2:14 PM