BIBI akan berbincang dengan FMLLP bagi menjelaskan sebab tertentu jika ada perkara yang sukar diselesaikan.
Attirmidzie Rahman

PERSATUAN Bola Sepak Kelantan (KAFA) memilih untuk mengemukakan rayuan kepada Perkongsian Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP) bagi mengurangkan denda yang dikenakan ke atas mereka.

Selain itu, pihak KAFA akan berusaha melengkapkan dokumen yang diperlukan badan pengelola Liga Malaysia (Liga-M) itu dalam tempoh yang diberikan bagi memastikan pasukan Kelantan terselamat daripada sebarang hukuman.

Presiden KAFA, Bibi Ramjani Ilias Khan berkata setakat ini dia sudah mengenalpasti beberapa perkara yang belum diselesaikan dan ia akan disusuli dengan penyelesaian dalam tempoh yang diberikan.

“Terima kasih kepada FMLLP dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kerana masih lagi membuka peluang untuk mengemukakan rayuan bagi mengurangkan hukuman terbabit.

“KAFA sudah meneliti beberapa perkara terutama membabitkan dokumen kewangan yang diperlukan FMLLP yang mana saya sendiri akan sedaya upaya menyelesaikan dalam tempoh yang ditetapkan mereka.

“Hal ini menjadi berlanjutan susulan banyak perkara di antaranya membabitkan dokumen lama yang bukan di bawah kelolaan pentadbiran KAFA yang baru. Namun saya yakin dan Insya-Allah ia akan diselesaikan sebaik mungkin,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Hari ini, Sukan NSTP melaporkan FMLLP mengenakan denda berjumlah RM9 juta kepada semua pasukan yang gagal melengkapkan pendaftaran Liga-M.

Empat pasukan Liga Super – Kelantan, Kuala Lumpur, Selangor dan PKNS FC – gagal melengkapkan pendaftaran masing-masing dikenakan denda RM1.5 juta, manakala enam pasukan Liga Perdana, Sarawak, Pulau Pinang, Kuantan FA, PDRM, MIFA dan UKM FC perlu membayar denda RM500,000 atas kesalahan sama.

Bagaimanapun, bayaran denda itu boleh dikurangkan berdasarkan rayuan daripada setiap pasukan dalam tempoh 14 hari yang diberikan bermula kelmarin.

Mengulas lanjut, Bibi Ramjani berkata selain mengemukakan rayuan pihaknya akan melakukan rundingan dengan FMLLP bagi menjelaskan sebab tertentu jika ada perkara yang sukar diselesaikan.

“Jika ada beberapa perkara lain lagi masih gagal dipenuhi, saya akan berunding dengan FMLLP bagi menjelaskan sebabnya.

“Ini memandangkan pengurusan baharu mengambil alih persatuan ini sejak lima bulan lalu, sudah tentu masih banyak perkara yang tertinggal dan perlu belajar untuk masa akan datang.

“Bagaimanapun, KAFA tetap akan berusaha semampunya dan bekerjasama dengan FMLLP dan FAM demi kemajuan bola sepak,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Mac 2018 @ 10:53 PM