DR Ramlan
DR Ramlan
Mohd Khairie Khalid

Kuala Lumpur: Agensi Antidoping Malaysia (ADAMAS) mengingat dan memberikan amaran agar atlet kebangsaan tidak melarikan diri daripada menjalani ujian yang dijalankan pihaknya.

Pengarah ADAMAS, Datuk Dr Ramlan Abdul Aziz menegaskan atlet yang tidak memberikan kerjasama kepada pihak bertanggungjawab turut dikenakan hukuman.

“Saya hendak mengingatkan kepada atlet. Bukan saja ujian positif tetapi kalau lari daripada ujian juga boleh dikira sebagai positif.

“Saya ada mendengar khabar ada atlet yang berani hendak melarikan diri daripada diuji, jadi saya beri nasihat jangan melakukannya. Alhamdulillah, baru-baru ini kalau terjadi pun kita dapat elakkan kerana kita sendiri pergi kepada atlet itu dan memberikan nasihat.

“Kalau dengar diuji dan hendak lari, mengelakkan ujian juga boleh dihukum,” kata Ramlan ketika ditemui selepas merasmikan Seminar Anti Doping 2018 yang berlangsung di Dewan Perdana, Insitut Sukan Negara (ISN), semalam.

Seminar berkenaan dihadiri 433 orang secara keseluruhan membabitkan atlet dan jurulatih.

Mengulas lanjut, Ramlan berkata atlet negara harus mengambil iktibar daripada kejadian lalu ketika dalam persediaan menghadapi temasya Sukan Komanwel dan Sukan Asia.

Katanya pegawai dan jurulatih dan pasukan yang memberikan sokongan perlu saling memainkan peranan bagi membantu mengingatkan atlet agar sentiasa berwaspada dalam setiap penggunaan bahan yang diambil.

“Tugas kita (ADAMAS) adalah untuk membasmi gejala doping dalam sukan yang mempunyai dua cabaran utama iaitu mencari siapa yang menipu dari segi pengambilan bahan terlarang untuk meningkatkan prestasi secara tidak sah. Selain itu, juga untuk mengelakkan atau mencegah atlet yang mengambil bahan terlarang secara tidak sengaja.

“Banyak perkara dan yang harus diteliti dan diperhatikan atlet supaya tidak terjerumus dalam membuat kesilapan seperti mengambil supplement dari luar, bukan dari farmasi dan ISN,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Mac 2018 @ 7:35 AM