AKSI Henrikh Mkhitaryan (kanan) dikekang pemain AC Milan, Davide Calabria di San Siro, sebentar tadi. - FOTO REUTERS
AFP

PENGURUS Arsenal, Arsene Wenger jelas lega apabila pasukannya menang 2-0 ke atas AC Milan pada saingan kelompok 16 terakhir Liga Europa pagi tadi apatah lagi kejayaan itu hadir selepas mengharungi saat penuh mengerikan minggu lalu.

Henrikh Mkhitaryan meletakkan Arsenal di depan pada minit ke-15 dan ia adalah gol pertamanya buat kelab itu. Gawang Milan terus bolos buat kali kedua menerusi Aaron Ramsey.

Wenger terdesak untuk melihat kemenangan pasukannya selepas berdepan empat kekalahan berturut-turut dan menariknya, kejayaan Gunners berlaku ke atas Milan sekali gus menamatkan rekod 13 kemenangan tanpa kalah kelab gergasi Itali berkenaan.


ARSENE Wenger (kanan) bersalaman dengan rakan sejawatnya, Gennaro Gattuso di Stadium Giuseppe Meazza, sebentar tadi. - FOTO EPA-EFE

“Sudah tentu ia kemenangan yang penting apatah lagi kami mengharungi minggu yang sangat sukar,” kata pengendali berusia 68 tahun itu kepada BT Sport.

“Saya gembira dengan semangat juang serta kebangkitan pemain saya. Apabila anda menerima kritikan teruk, anda ada kalanya tidak sempat untuk berfikir tetapi suka atau tidak, anda perlu bangkit.

“Maruah serta keinginan anda untuk membuktikan kualiti dimiliki berjaya direalisasikan dalam perlawanan ini.”

Sementara itu, skuad kendalian Gennaro Gattuso yang pernah menjulang tujuh gelaran Eropah itu tidak lagi mempunyai pilihan sebaliknya perlu memikirkan cara untuk menang di Stadium Emirates pada perlawanan kedua, seminggu lagi.

“Arsenal sedang mengharungi tempoh sukar tetapi mereka tetap pasukan hebat. Kami melakukan terlalu banyak kesilapan,” kata Gattuso.


REAKSI pemain AC Milan selepas tumpas di tangan Arsenal, awal pagi tadi. - FOTO REUTERS

Tetapi Arsenal yang ketinggalan 13 mata di belakang kelompok empat teratas Liga Perdana Inggeris, pasti lebih yakin untuk kembali ke saingan Liga Juara-Juara dengan memenangi saingan kedua Eropah itu buat kali pertama musim ini.

“Secara keseluruhannya, kemenangan ini memang penting tetapi kami belum layak. Kami perlu menyelesaikan tugas itu di tempat sendiri nanti,” kata Wenger.

Arsenal memulakan aksi dengan baik di San Siro tetapi bernasib baik apabila Hakan Calhanoglou tidak terjatuh walaupun dia dikasari penjaga gol Gunners, David Ospina di dalam kotak penalti.

Tidak lama kemudian, Arsenal memecah kebuntuan apabila Mesut di Stadium Giuseppe Meazza, sebentar tadi. membuat hantaran kepada Mkhitaryan dan bekas pemain Manchester United itu meledak rembatan yang gagal diselamatkan penjaga gol tuan rumah, Gianluigi Donnarumma.

Persembahan Gunners dilihat semakin yakin selepas jaringan itu dan Donnarumma menyelamatkan dua percubaan menarik Calum Chambers dan Danny Welbeck sebelum rembatan Mkhitaryan terkena palang.

Tetapi pelawat tetap berjaya menggandakan kelebihan sebelum rehat menerusi Ramsey yang menerima hantaran Ozil.


PEMAIN Salzburg, Munas Dabbur (dua dari kanan) dikekang tiga pemain Dortmund di Dortmund, sebentar tadi. - FOTO AFP

Pada perlawanan lain, Borussia Dortmund tewas 1-2 di tangan Salzburg, Atletico Madrid menang 3-0 ke atas Lokomotiv Moscow, Lyon mengatasi CSKA Moscow 1-0 sambil Marseille mengetepikan Athletic Bilbao 3-1.

Lazio seri 2-2 dengan Dynamo Kiev manakala RB Leipzig menang 2-1 ke atas Zenit St Petersburg dan Sporting Lisbon menang 2-0 ke atas Viktoria Plzen.


KOKE (kanan) meraikan gol jaringannya bersama Juanfran dan Fernando Torres (kiri) ketika menentang Lokomotiv Moscow di Wanda Metropolitano sebentar tadi . - FOTO AFP

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Mac 2018 @ 8:20 AM