MOHAN akan lakukan rayuan untuk kurangkan denda yang dikenakan FMLLP. -Foto fail
MOHAN akan lakukan rayuan untuk kurangkan denda yang dikenakan FMLLP. -Foto fail
Devinder Singh


MIFA tidak berhasrat untuk menarik diri daripada Liga Perdana namun mungkin akan mengehadkan operasi mereka jika rayuan mereka supaya denda RM500,000 dikurangkan tidak berjaya.

MIFA adalah antara 10 pasukan yang dikenakan denda berjumlah RM9 juta oleh Perkongsian Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP)  kerana lewat atau menghantar dokumen pendaftaran yang tidak lengkap.

Selepas Presiden FAM Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata semalam bahawa pasukan yang mahu menarik diri daripada Liga-M boleh berbuat demikian, Presiden MIFA Datuk T Mohan menegaskan kelab itu berharap dapat mengelak daripada membuat keputusan itu.

“Bukan niat kami untuk menarik diri kerana kami mahu bermain bola sepak dan bekerja demi komuniti kami tetapi kami sebuah kelab dengan bajet rendah dan tidak mempunyai sokongan kerajaan negeri atau syarikat berkaitan kerajaan,” kata Mohan.

“Jika kami perlu membayar denda, pastinya sukar untuk kami teruskan biarpun kami mempunyai penaja yang mahu membantu.

“Kami akan memfailkan rayuan kepada FMLLP minggu depan dan berharap mereka mempertimbangkan situasi kami. Sebaik keputusan dibuat jawatankuasa eksekutif kami akan bermesyuarat  untuk membincangkan hala tuju masa depan.”

Dengan bajet RM6 juta musim ini, denda RM500,000 membabitkan satu perenam kos operasi MIFA.

Mohan berkata denda itu disifatkan keterlaluan kerana hanya lewat menghantar satu dokumen daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri.

“Kami sentiasa mengemaskini pembayaran kepada KWSP, PERKESO dan cukai pendapatan,” kata Mohan.

“Kami hanya terlewat menghantar dokumen cukai pendapatan yang hanya kami perolehi dalam tempoh seminggu.

“MIFA bukan melewatkan pembayaran. Saya fikir FMLLP sepatutnya mempertimbangkan dan mengurangkan jumlah denda.”

Mohan juga tidak menolak kemungkinan untuk bertemu Tunku Ismail untuk membincangkan perkara itu. 

 

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Mac 2018 @ 3:51 PM