AUSTRALIA menjuarai Piala Sultan Azlan Shah ke-27 di Stadium Azlan Shah, Ipoh. FOTO/MUHAIZAN YAHYA
Azizan Hashim


AUSTRALIA muncul juara kali ke-10 Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah bagi edisi ke-27 yang berakhir sebentar tadi.

Juara dunia itu mengatasi England 2-1, dalam pertarungan sengit di pentas final yang turut disaksikan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir; Exco Belia dan Sukan, Datuk Shahrul Zaman Yahya serta Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan.

Dengan kejayaan itu, pasukan Kookaburras itu berjaya menebus kehampaan di pentas ketika tumpas kepada Great Britain dengan jaringan 4-3, tahun lalu.

Walaupun menguasai perlawanan, tetapi kemenangan tidak mudah diraih buat Australia apabila diberi tentangan sengit oleh England yang layak ke final selepas menumbangkan Malaysia 7-2 dalam perlawanan terakhir.


PEMAIN Australia, Fkynn Igilvie (kanan) bersaing dengan pemain England, Harry Martin dalam kejohanan hoki Piala Sultan Azlan Shah ke-27 di Stadium Azlan Shah, Ipoh. FOTO/MUHAIZAN YAHYA

Namun, Australia meraih kejayaan berganda apabila turut memenangi anugerah Fair Play serta anugerah individu apabila Mark Knowles diumumkan sebagai pemain terbaik perlawanan akhir manakala anugerah pemain terbaik kejohanan milik rakan sepasukan, Daniel Beale.

Selepas kebuntuan gol di awal saingan, Australia akhirnya merobek gawang England apabila Blake Govers menyumbat masuk bola menerusi rembatan kencang sudut penalti, pada minit ke-38.

Lachlan Sharp menjadikan kedudukan 2-0, melalui pukulan sudut penalti pada minit ke-53.

Begitupun, England juga enggan menyerah mudah dan seminit kemudian, Sam Ward merapatkan jurang kedudukan kepada 2-1.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Mac 2018 @ 12:51 AM