WILLIAN (kanan) mendapat pujian daripada bekas pengurus dan pemain Chelsea. -Foto EPA
Reuters

LONDON: Selepas sekian laman dibayangi Eden Hazard di Chelsea, Willian kini muncul peneraju pasukan menjelang aksi Liga Juara-Juara menentang Barcelona.

Pendahulu La Liga itu memang menyedari bakat dimiliki Willian. Bintang Brazil itu menyerlah ketika aksi pertama 16 pasukan terakhir Liga Juara-Juara di Stamford Bridge apabila kelincahannya itu wajar menyumbang lebih daripada satu gol ketika mereka terikat 1-1.

Dua percubaan hebatnya melepasi gawang, dia mencipta empat peluang untuk rakan sepasukannya dan sering membuatkan lawan ketinggalan dengan aksi menggelecek yang mantap.

Aksi Willian di depan gawang berterusan ketika aksi Chelsea selepas itu berdepan Manchester United dan pemain Brazil itu mengumpul 13 jaringan dalam semua kejohanan musim ini, yang juga pencapaian terbaiknya ketika Chelsea menewaskan Crystal Palace 2-1 semalam.

“Adakah anda mahu bercakap mengenai Willian? Hebat, dia terbaik dalam pasukan, menakjubkan,” kata pengurus United Jose Mourinho selepas pasukannya menewaskan Chelsea dua minggu lalu.

Willian jarang menampilkan prestasi hebat yang meraih pujian pengurus lawan. Selepas diberikan cuti ihsan berikutan kematian ibunya Oktober lalu, Willian bergelut menempatkan dirinya sebagai pilihan utama Chelsea.

Daripada 29 penampilan Liga Perdana Inggeris musim ini, 13 daripadanya dari bangku simpanan, namun prestasi yang ditunjukkan kebelakangan ini memastikan dirinya terus mendapat kepercayaan pengurus Antonio Conte.

“Anda tidak boleh tinggalkannya daripada pasukan,” kata bekas penyerang Chelsea Chris Sutton selepas kemenangan pasukan itu ke atas Palace.

“Dia (Willian) mempunyai penguasaan bola yang hebat, dia membawa bola dengan baik. Jika perlu memilih antara Willian atau Pedro untuk menentang Barcelona, jawapannya tentu sekali Willian.”

Penguasaan bola seperti itu mampu membantu Chelsea melakukan kebangkitan mengejutkan pada aksi kedua di Nou Camp awal pagi Khamis ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Mac 2018 @ 11:17 AM