ANTARA pasukan yang dikenakan hukuman denda RM500,000 dan RM1.5 juta.
Aziman Rosdi


SEPULUH pasukan Liga Malaysia (Liga M) yang dikenakan hukuman denda RM500,000 dan RM1.5 juta mungkin tidak sempat untuk menikmati kenaikan geran tahunan bakal diberikan Perkongsian Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP) Rabu ini.

Ini kerana badan pengelola Liga-M itu bertindak memotong terus geran tahunan mengikut jumlah denda yang dikenakan pasukan berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif FMLLP, Kevin Ramalingan berkata 10 pasukan yang didenda atas kesalahan gagal melengkapkan pendaftaran musim ini tidak akan menerima bayaran penuh geran tahunan.

“Duit geran tahunan akan diberikan kepada semua pasukan Liga Super dan Liga Perdana, Rabu ini tapi pasukan yang didenda itu tidak akan mendapat bayaran penuh kerana kita akan potong terus mengikut jumlah denda dikenakan.

“Sebagai contoh, Selangor yang bermain dalam Liga Super, sepatutnya terima geran tahunan RM3 juta, tapi hanya akan menerima RM1.5 juta selepas kita tolak duit denda mereka. Bagaimanapun, kita akan memulangkan semula geran tahunan itu jika denda berkenaan dikurangkan selepas rayuan dibuat.

“Rayuan semua pasukan terbabit akan diputuskan ahli lembaga pengarah FMLLP dan kita berharap dapat mengetahui keputusan itu sebelum Kongres FMLLP pada 25 Mac ini,” katanya.

FMLLP dengan peneraju baru Tunku Ismail Sultan Ibrahim berjaya meningkatkan nilai hak penyiaran serta penajaan syarikat luar, sekali gus membolehkan geran tahunan pasukan Liga Super dinaikkan daripada RM1 juta kepada RM3 juta manakala pasukan Liga Perdana menerima RM1 juta berbanding RM500,000 musim lalu.

Namun pasukan Liga Super yang bermasalah – Selangor, Kelantan, Kuala Lumpur dan PKNS FC – hanya akan menerima separuh daripada jumlah geran itu, RM1.5 juta gara-gara hukuman dikenakan, baru-baru ini.

Enam pasukan Liga Perdana yang membabitkan Sarawak, Pulau Pinang, Kuantan FA, PDRM, MIFA dan UKM FC pula didenda RM500,000 dan sehubungan itu hanya akan mempunyai baki RM500,000 daripada RM1 juta diperuntukkan.

Selain itu, pasukan terbabit turut dikenakan hukuman pemotongan tiga hingga enam mata namun ditangguhkan sehingga 31 Disember ini.

Biarpun ada pihak menggesa agar pasukan terbabit menarik diri kerana denda yang berat, Kevin berkata, pihaknya tidak akan berganjak dan tetap akan mengekalkan keputusan yang dikenakan.

“Setakat ini tiada pasukan yang mengemukakan secara rasmi untuk menarik diri. Jika tarik diri, mereka harus bertanggungjawab kepada pemain dan juga penyokong.

“Adalah tidak adil untuk menyekat pasukan bermasalah ini mendaftar pada awal musim ini kerana ada kesilapan yang dilakukan itu hanya berpunca daripada tindakan seorang, dua individu.

“Ada yang kata denda ini terlalu tinggi. Tapi sebelum ini apabila kita hanya memotong mata, pasukan tak kisah. Tapi bila kita kenakan denda tinggi, baru sekarang mereka sedar. Tanpa tindakan tegas sepeti ini, sikap mereka akan tetap sama,” jelasnya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Mac 2018 @ 9:19 PM