AUBAMEYANG meraikan gol. FOTO/AFP
AFP

LONDON: Arsene Wenger menerima tonik tambahan ketika Arsenal mengurangkan sedikit tekanan terhadap bos mereka menerusi kemenangan 3-0 mengatasi Watford dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL), sebentar tadi.

Selepas keputusan yang menyebabkan Wenger terpaksa bertarung mempertahankan jawatannya, kemenangan 2-0 di AC Milan dalam saingan Liga Europa awal pagi Jumaat lalu memberikan kelegaan sementara terhadap pengendali dari Perancis itu daripada kritikan yang dihadapinya musim ini.

Mengekalkan rentak daripada kemenangan kelompok 16 terakhir di San Siro, Wenger menamatkan kekalahan ketiga berturut-turut dalam Liga Perdana dengan persembahan mantap di Stadium Emirates.

Jaringan awal Shkodran Mustafi dan penamat tenang oleh Pierre-Emerick Aubameyang memberikan mereka kawalan dalam saingan kali ini.

Penalti kapten Watford, Troy Deeney, yang mempersoalkan semangat Arsenal awal musim ini diselamatkan Petr Cech pada babak kedua.


WENGER kembali ceria selepas anak buahnya kembali pacu kemenangan. FOTO/AFP

Jaringan Henrikh Mkhitaryan melengkapkan tiga mata buat Arsenal tetapi wujud kebimbangan berikutan Mustafi cedera pada penghujung saingan.

Arsenal yang tewas lapan daripada 14 perlawanan dalam semua kejohanan, kekal di tangga keenam dan pasukan tangga keempat Tottenham, 10 mata di depan mereka menjelang kunjungan ke Bournemouth.

“Semangat dan keinginan pemain adalah bagus. Ia menjauhkan masalah daripada kami. Anda perlu memberi pujian kepad pemain, mereka kekal bersatu,” kata Wenger.

“Saya percaya adalah penting untuk terus melakukannya selepas persembahan berdepan Milan, menunjukkan satu tahap konsisten. Secara keseluruhan ia kemenangan meyakinkan dan ia penting.

“Kami melalui tempoh yang mengecewakan dan penyokong kami menderita sama seperti kami. Tetapi tugas kami ialah terus beraksi baik dan kekal bersatu pada masa yang penting ini dan kembali mendapatkan sokongan penyokong.”

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Mac 2018 @ 12:46 AM