AFIQ (belakang) dan Khairul bakal beraksi di Rio de Janeiro akhir bulan ini.

Nilai: Pemenang pingat emas acara tandem paracycling Sukan Para ASEAN 2017, Afiq Afify Rizan dan jurumudinya Khairul Adha Rasol akan mengetuai 10 pelumba basikal negara ke Kejohanan Basikal Trek Para Dunia di Rio de Janeiro dari 22 hingga 25 Mac ini.

Jurulatih basikal para Malaysia, Sallehudin Mohd Noh berkata, penyertaan itu dilihat boleh membantu Afiq dan Khairul Adha membuat persiapan terakhir merebut pingat emas dalam acara pecut 200 meter tandem pada Sukan Komanwel Gold Coast, bulan depan.

Sallehudin berkata, Afiq dan Khairul Adha perlu bersiap sedia menghadapi saingan hebat pelumba negara lain terutama Australia dan England yang dijangka turut beraksi dalam acara tandem pecut 200m di Kejohanan Basikal Trek Para Dunia dan Sukan Komanwel.

Bagaimanapun, Sallehuddin berkata peluang Afiq dan Khairul Adha untuk menang emas dalam acara tandem pecut 200m memang cerah selepas mereka berjaya membuat catatan terbaik 10.020 saat berbanding catatan masa terbaik 10.047s dibuat pelumba Britain November lalu.

“Justeru, saya melihat pasangan pelumba negara ini mempunyai sedikit kelebihan dan peluang baik untuk bukan hanya menaiki podium, malah menang emas dalam acara pecut 200m tandem di Sukan Komanwel nanti.

Dalam pada itu, Sallehudin mengesahkan Malaysia akan menghantar 10 pelumba termasuk Afiq dan Khairul Adha bagi menyertai pelbagai acara termasuk tandem, pecut 1km, 3km, 4km dan berpasukan di Rio de Janeiro.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Mac 2018 @ 7:35 AM