PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Bibi Ramjani Ilias Khan mohon FMLLP pertimbangkan rayuan. - Foto Syamsi Suhaimi
Oleh Hasbullah Ibrahim


DENDA berupa pemotongan geran tahunan RM1.5 juta yang dikenakan Perkongsian Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP) menjejaskan kantung Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA).

Presidennya, Bibi Ramjani Ilias Khan, berkata hukuman yang dikenakan  menyulitkan KAFA yang sangat memerlukan geran tahunan berjumlah RM3 juta untuk menguruskan pasukan pada musim ini.

"KAFA mohon FMLLP mempertimbangkan rayuan kami memandangkan pengurusan baharu KAFA sentiasa berusaha bersungguh-sungguh mencari jalan terbaik menyelesaikan beberapa kes tunggakan gaji pemain yang membabitkan persatuan ini dengan Persatuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM)," katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Semalam, Ketua Pegawai Eksekutif FMLLP, Kevin Ramalingan menjelaskan pasukan yang didenda atas kesalahan gagal melengkapkan pendaftaran musim ini tidak akan menerima bayaran penuh geran tahunan.

Sepuluh pasukan Liga Malaysia (Liga M) yang dikenakan hukuman denda RM500,000 dan RM1.5 juta mungkin tidak sempat untuk menikmati kenaikan geran tahunan bakal diberikan FMLLP pada Rabu ini.

Ini kerana badan pengelola Liga-M itu bertindak memotong terus geran tahunan mengikut jumlah denda yang dikenakan pasukan berkenaan.

Bagaimanapun, Bibi Ramjani berkata KAFA belum lagi diberi notis berhubung hukuman denda pemotongan geran tahunan itu.

"KAFA cuma dimaklumkan hukuman tetap ada namun KAFA agak terkejut dengan jumlah denda yang dikenakan memandangkan jumlahnya agak tinggi.

"Situasi sebegini menyulitkan kantung kewangan KAFA yang sangat memerlukan tambahan geran tahunan berjumlah RM3 juta untuk menguruskan pasukan musim ini.

Dalam kenyataan sama, Bibi Ramjani berkata, pihaknya sedang dalam proses mengemaskini kewangan persatuan dan sedia bekerjasama dengan FMLLP bagi memastikan rayuan pasukannya dipertimbangkan sewajarnya.

"KAFA akan membuat tindakan susulan dengan menghantar surat rayuan supaya hukuman denda  pasukan Kelantan dapat dikurangkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Mac 2018 @ 8:06 PM