FAP perlu masa lunas baki gaji bekas pemain Pulau Pinang. FOTO/FAIL
Rudy Syareme Sheriffudin


“KAMI hormati hak pemain dan tidak pernah lari untuk menyelesaikan segala masalah,” kata Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP), Mohd Azizudin Mohd Shariff berhubung isu tunggakan gaji pemain termasuk bekas pemain skuad Harimau Kumbang yang masih belum dijelaskan sehingga ke hari ini.

Mohd Azizudin berkata, FAP tidak pernah lupa tanggungjawab terhadap beberapa bekas pemain yang pernah menyarung jersi Pulau Pinang meskipun FAP berdepan dengan masalah kewangan.

Beliau berkata, pihak FAP tidak kecewa atau marah terhadap mana-mana bekas pemain yang mengeluarkan kenyataan dan menuntut secara terbuka isu tunggakan gaji di media massa.

Katanya, setiap pemain mempunyai komitmen dan tanggungjawab yang perlu dilakukan dan ketiadaan wang gaji menjejaskan urusan harian, perbelanjaan keluarga dan lain-lain.

“Mereka mempunyai hak untuk berbuat demikian namun FAP tidak pernah lari atau bersikap sambil lewa mengatasi masalah itu dengan segera biarpun sebelum ini perbincangan telahpun dilakukan dengan beberapa bekas pemain Pulau Pinang.

“Saya hormati segala keputusan yang telah dilakukan mereka dan FAP tetap akan berusaha untuk menyelesaikan tunggakan gaji ini secepat mungkin,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Minggu lalu, bekas pemain skuad Harimau Kumbang Muhammad Jafri Muhammad Firdaus Chew menuntut secara terbuka pembayaran gaji yang masih tertunggak daripada FAP sejak tahun lalu biarpun kini sudah menyarung jersi bersama pasukan PKNS FC.

Semalam FAP menjelaskan kantung kewangan berada dalam keadaan kritikal berikutan ketiadaan penaja yang sudi membantu Pulau Pinang untuk menyuntik sedikit modal bagi menyelesaikan isu tunggakan gaji pemain dan bekas pemain yang masih belum dapat diselesaikan.

FAP juga menuntut pertimbangan Perkongsian Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP) untuk meringankan hukuman paling minima susulan berdepan masalah kewangan yang begitu kritikal.

Dianggarkan jumlah tunggakan hutang dan gaji pemain dan bekas pemain yang perlu dijelaskan FAP ketika ini dianggarkan berjumlah RM3 juta.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Mac 2018 @ 4:28 PM