HEYNCKES (tiga dari kiri) sedia hadapi sorakan penyokong tuan rumah. -Foto Reuters

BERLIN: Bayern Munich memiliki kelebihan selesa pada pertembungan kedua pusingan 16 terbaik Liga Juara-Juara menentang Besiktas, awal pagi esok tetapi jurulatihnya, Jupp Heynckes tetap berwaspada.

Pengendali veteran itu berkata, skuad kendaliannya dijangka berdepan laluan sukar bukan saja daripada pasukan lawan, tetapi peminat fanatik kelab Turki itu dalam usaha menempatkan diri ke suku akhir.

Bayern tampak seperti sudah meletakkan sebelah kaki di peringkat lapan terbaik susulan kemenangan besar 5-0 di Munich, bulan lalu tetapi Heynckes memberi amaran mengenai kuasa sorakan penyokong di tempat lawan.

“Kami berdepan lawan yang terbaik. Kami akan menentang peminat setia mereka yang sentiasa mendorong pasukan mereka untuk menuju ke depan,” kata Heynckes.

“Sekalipun anda mempunyai kelebihan selesa, anda masih perlu mengharungi perlawanan dengan tumpuan yang penuh. Kami perlu pergi dan memenangi setiap perlawanan tanpa mengambil kira perlawanan pertama.”

Peminat Besiktas menjadi tumpuan pada awal kejohanan apabila penyerang RB Leipzig, Timo Werner terpaksa dikeluarkan kerana pening dengan suasana yang dicipta oleh keadaan bising di stadium ketika kedua-duanya bertembung pada peringkat kumpulan.

“Amat penting untuk bermain dalam suasana yang bagus. Peminat adalah sebahagian daripadanya. Tanpa mereka dan tanpa sokongan padu penyokong, bola sepak tanpa emosi,” kata Heynckes.

Bayern akan beraksi melawan Besiktas tanpa kelibat Arjen Robben yang mengalami kecederaan kecil dengan kelab gergasi Jerman itu memburu tiga gelaran musim ini.

“Saya fikir peminat itu akan menambah tekanan,” kata penjaga gol Bayern, Sven Ulreich. “Kami sudah bersedia menghadapinya. Kami tidak seharusnya melepaskan gol dan menjaringkan gol seawal yang mungkin.” - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Mac 2018 @ 10:40 AM