MANIAM (tengah) direhatkan FAS selepas Selangor tewas kali ketiga berturut-turut. FOTO/FAIL
Syafiq Aznan
syafiq.aznan@nstp.com.my


ADALAH pengendali Selangor, P Maniam bakal menjadi ‘mangsa’ ketiga yang perlu melepaskan jawatannya pada musim ini?

Ia susulan keputusan Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) yang bertindak drastik untuk merehatkan bekas jurulatih Air Asia FC itu berkuatkuasa hari ini, selepas skuad The Red Giants dilanda tiga kekalahan berturut-turut, dalam Liga Super sekaligus terperosok ke tangga kelapan liga.

Perkembangan itu disahkan Naib Presidennya, Datuk Abdul Rauf Ahmad yang menegaskan keputusan itu terpaksa diambil selepas penilaian menyeluruh dibuat mengenai kemerosotan prestasi pasukan itu dalam beberapa aksi sekaligus menyaksikan pasukan akan dikendalikan oleh pembantu jurulatih, Muhammad Nazliazmi Mohamad Nasir selaku pemangku.

“Kami sudah berbincang hari ini dan selepas meneliti prestasi pasukan, kami mengambil keputusan untuk merehatkan Maniam. Keputusan ini bukan keputusan individu tetapi dicapai secara kolektif.


AKSI Selangor (jersi biru) ketika tewas kepada Perak. FOTO/FAIL

“Muhammad Nazliazmi akan mengambil tanggungjawab sebagai jurulatih sementara dan beliau akan memulakan tugasnya esok, selain bertanggungjawab membawa pasukan dalam saingan Piala FA menentang Terengganu, Jumaat ini,” katanya.

Bagaimanapun, Abdul Rauf menjelaskan persatuan itu masih belum membincangkan mengenai keputusan untuk mendapatkan jurulatih baharu pasukan itu.

“Kami akan menilai prestasi pasukan terlebih dahulu dan sebarang keputusan lanjut akan dimaklumkan kemudian,” katanya.

Sebagai rekod, anak buah Maniam membuka kempen Liga Super dengan langkah kanan dengan menundukkan Kuala Lumpur 2-0, sebelum gah membelasah Melaka United (MU) 4-1 pada aksi kedua.

Bagaimanapun, Selangor menelan kekalahan pertama apabila diaibkan Terengganu 4-1, sebelum tunduk 1-3 di tangan Pahang dan hasrat mereka untuk bangkit tidak kesampaian apabila tewas kepada Perak dengan keputusan 0-3.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Mac 2018 @ 6:08 PM