PENYERANG import Kelantan, Ferdinand Sinaga digugurkan dari skuad Kelantan. - Foto Zaman Huri Isa
Attirmidzie Rahman


PERSATUAN Bola Sepak Kelantan (KAFA) mengambil tindakan terbaharu dengan menggugurkan pemain import mereka, Ferdinand Sinaga dan seorang pemain tempatan, Syafiq Ab Rahman.

Keputusan mengejut itu terpaksa dilakukan berikutan beberapa faktor yang membelenggu kem Kelantan ketika ini, selain proses rombakan semula pasukan.

Presiden KAFA, Bibi Ramjani Ilias Khan berkata, sebelum keputusan itu diambil pihaknya melakukan perbincangan dengan dua pemain terbabit sehingga kedua-dua pihak mencapai persefahaman.

"Hasil perbincangan dengan Ferdinand (hari ini) dia bersedia untuk berundur daripada pasukan atas sebab yang tertentu,” kata Bibi Ramjani.

"Dia (Ferdinand) pemain bagus serta boleh bertolak ansur dengan kita namun memandangkan isterinya akan bersalin dalam sebulan lagi serta beberapa perkara lain lagi, kita cuba fahami.

"Untuk pembayaran gajinya, dia hanya meminta untuk bulan ini saja dan kita akan selesaikan perkara itu demi prestasinya yang baik di Indonesia.

"Selain itu, kita juga tamatkan kontrak Syafiq atas sebab tidak boleh didaftarkan kerana pasukan kita sudah melebihi pemain.”

Ferdinand, pemain baharu yang diikat badan induk itu musim ini hanya meledak satu gol bersama Kelantan ketika perlawanan persahabatan menentang Kuantan FA awal musim ini.

Manakala Syafiq, yang bermain di posisi tengah, belum mendapat tempat beraksi bersama pasukan itu musim ini dan kini dilaporkan beraksi bersama pasukan di Liga FAM, Perlis secara pinjaman.

Ditanya berkenaan kemungkinan KAFA akan merekrut pemain baharu, Bibi Ramjani berkata ia belum dapat dimuktamadkan susulan pihaknya menghadapi sekatan perpindahan pemain.

"Yang ini selagi belum sampai bulan Mei, kita kena tunggu dahulu kerana pertukaran pemain baharu atau import ada dalam tiga denda yang bakal kita kena.

"Cuma setakat ini kita tidak tahu denda mana yang kita akan hadapi oleh itu perpindahan pemain bulan Mei ini keputusannya bukan di tangan kita.

"Bagaimanapun, kita sudah susuli perkara itu dengan rayuan untuk dipertimbangkan," katanya.

 

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Mac 2018 @ 7:25 PM