RATU skuasy negara, Datuk Nicol Ann David mendapat ‘bye’ pada pusingan pertama acara berkenaan yang akan berlangsung di Oxenford Studios. - Foto Hasriyasyah Sabudin

RATU skuasy negara, Datuk Nicol David diletakkan sebagai pilihan ketiga acara perseorangan wanita pada Sukan Komanwel 2018 di Gold Coast, Australia, pada 4 hingga 15 April ini.

Berdasarkan undian acara perseorangan yang dikeluarkan laman web rasmi Persekutuan Skuasy Dunia (WSF), www.worldsquash.org, pemain kelahiran Pulau Pinang berusia 34 tahun itu mendapat ‘bye’ pada pusingan pertama acara berkenaan yang akan berlangsung di Oxenford Studios.

Pada pusingan kedua, bekas pemain nombor satu dunia itu akan berdepan pemenang antara Colette Sultana dari Malta dan Samantha Hennings dari Cayman Islands.

Nicol kini menduduki ranking kelapan dunia, dijangka membuat penampilan keenam dalam acara perseorangan selepas kali pertama beraksi pada temasya sukan itu ketika berusia 15 tahun, apabila skuasy diperkenalkan buat kali pertama pada Sukan Komanwel 1998 di Kuala Lumpur, mengintai rekod meraih pingat emas ketiga berturut-turut di Gold Coast.

“Ia satu penghormatan mewakili negara dan saya masih mampu bersaing pada Sukan Komanwel kerana ia temasya sukan peringkat tertinggi untuk skuasy.

Pentingnya pingat di temasya sukan ini memberi banyak erti kepada saya dan memenangi pingat emas sebelum ini mempunyai tempat sangat istimewa di hati saya,” katanya seperti dipetik dalam WSF.

Pemain muda, S. Sivasangari yang diletakkan sebagai pilihan ke-12 dan pemain bukan pilihan Aifa Azman, juga meraih kelebihan selepas mendapat ‘bye’ di pusingan pertama, namun masing-masing perlu berdepan cabaran pemain Scotland kerana dijadual bertemu Alison Thomson dan Lisa Aitken di pusingan kedua.

Dalam acara perseorangan lelaki, pemain nombor satu negara, Nafiizwan Adnan, yang juga pilihan ke-12, akan dicabar sama ada pemain New Zealand Evan Williams atau Jacob Kelly dari Cayman Islands, di pusingan kedua selepas mendapat ‘bye’ pada pusingan pertama.

Pilihan ke-13, Eain Yow Ng akan menentang pemain tuan rumah Rex Hedrick, manakala Ivan Yuen dijangka bertemu Mandela Patrick dari Trinidad and Tobago, pada aksi pusingan pembukaan.

Sementara itu, England dilihat sebagai pasukan pilihan untuk merangkul kejuaraan dalam kedua-dua acara perseorangan lelaki dan wanita di Gold Coast, apabila Nick Matthew dan Laura Massaro, masing-masing diletakkan selaku pilihan pertama dalam kategori lelaki dan wanita, berdasarkan ranking dunia terkini.

Untuk rekod, semasa Sukan Komanwel 2014 di Glasgow, Scotland, skuad Malaysia hanya meraih satu pingat emas menerusi Nicol dalam acara perseorangan wanita, manakala pada edisi 2010 di New Delhi, Nicol memenangi emas acara perseorangan wanita dan gangsa dalam kategori beregu campuran selepas bergandingan dengan Ong Beng Hee.

- BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Mac 2018 @ 10:27 PM