SETIAUSAHA Agung FAM Datuk Hamidin Mohd Amin memegang kertas undi JDT pada majlis undian pusingan suku akhir Shopee Piala FA Malaysia hari ini. -Foto BERNAMA
Aziman Rosdi
aziman@nstp.com.my

PELUANG Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk membalas kekecewaan tahun lalu ke atas Pahang, kini terbuka luas apabila kedua-duanya diundi bertemu pada aksi suku akhir Piala FA, bulan depan.

JDT yang juga juara pada 2016 tewas kepada skuad Tok Gajah menerusi agregat 4-3 pada peringkat sama tahun lalu, sudah pasti tidak mahu sejarah pahit itu berulang kembali.

Bagaimanapun Pahang yang kali terakhir menjulang trofi pada 2014 dan kecundang kepada Kedah 3-2 pada final tahun lalu, nyata sudah bersedia dengan undian sukar itu.

Bagi pengurus pasukan Pahang, Datuk Sufian Awang, beliau percaya skuad kendalian Dollah Salleh kini berada di tahap terbaik selepas menyingkirkan juara bertahan Kedah 1-0 pada pusingan ketiga minggu lalu.

“Saya yakin dan percaya, kedua-dua pasukan ada strategi masing-masing untuk menghadapi perlawanan ini. Pun begitu, kita menghormati pasukan JDT yang semestinya akan memberikan saingan sengit kerana ini dianggap aksi balas dendam.

“Tapi kita juga ada taktikal dan strategi yang bakal diolah oleh jurulatih Dollah Salleh. Saya percaya perlawanan ini akan menjadi seperti perlawanan ‘El Classico’ di mana ia bakal menjadi perhatian seluruh peminat-peminat seluruh Malaysia,” katanya ketika ditemui selepas majlis undian Piala FA, di sini, hari ini.

Andai menang pada aksi suku akhir, Pahang atau JDT bakal berdepan sama ada FELDA United dan PKNP FC yang membuat perhitungan dalam satu lagi perlawanan.

Turut menarik perhatian, aksi pertembungan setempat Lembah Klang antara Kuala Lumpur dan Selangor yang diundi bertemu pada suku akhir.

Kedua-dua pasukan ini sudah berentap pada aksi Liga Super di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras pada Februari lalu yang menyaksikan skuad Red Giants menang 2-0

Jika melepasi halangan itu, mereka bakal bertemu pemenang antara PKNS FC dan Perak yang berentap dalam satu lagi aksi suku akhir.

Perlawanan suku akhir pertama akan diadakan pada 6, 7 dan 8 April manakala kedua pada 20, 21 dan 22 April.

UNDIAN SUKU AKHIR PIALA FA:

Kuala Lumpur mln Selangor

PKNS FC mln Perak

Pahang mln Johor Darul Ta’zim

PKNP mln FELDA United

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Mac 2018 @ 5:57 PM