Shahriffuddin (kanan) muncul pemain paling muda meraih gelaran. -Foto BERNAMA
BERNAMA

SELEPAS muncul juara Order of Merit Persatuan Profesional Golf Malaysia (PGM) 2017, pemain golf muda negara, Shahriffuddin Ariffin kini mengintai kedudukan lima teratas Order of Merit Jelajah Pembangunan Asia (ADT) musim ini.

Pemain berusia 18 tahun itu yang muncul pemain paling muda meraih gelaran itu, berkata kedudukan baik di ADT penting untuk mendapat lebih banyak peluang beraksi di kejohanan berstatus Jelajah Asia.

Shahriffuddin yang menjadi pemain profesional sejak berumur 15 tahun, turut mahu mencuba nasibnya mencari slot kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo 2020, walaupun sedar misi itu bukan mudah.

Tugas itu bukan mudah kerana maksimum dua kuota pemain akan diberikan kepada setiap negara yang tiada pemain berada di kedudukan 15 teratas ranking dunia, dengan juara Order of Merit Jelajah Asia 2017, Gavin Kyle Green yang menduduki ranking ke-171 dunia, sudah pasti menjadi pilihan utama.

Selain Gavin, beliau terpaksa berdepan cabaran daripada pemain lain seperti Nicholas Fung, Ben Leong dan Arie Irawan dalam misinya ke Sukan Olimpik di negara matahari terbit itu.

“Saya tahu memang bukan mudah, tetapi saya kena tingkatkan latihan dan kekal fokus dalam setiap kejohanan disertai...perlu ada perancangan mengenai cuaca serta keadaan lapangan golf pada setiap kejohanan untuk meningkatkan prestasi.

“Untuk tahun ini, saya berhasrat untuk menang tiga kejohanan PGM dan berada dalam kelompok lima teratas ADT supaya mendapat lebih banyak peluang beraksi di Jelajah Asia,” katanya.

Shahriffuddin muncul juara Order of Merit PGM Tour 2017 selepas mengumpul sejumlah RM137,962 daripada sembilan kedudukan dalam kelompok 10 teratas daripada 19 kejohanan PGM disertainya, kelebihan RM17,180 daripada pesaing terdekat, R Nachimuthu yang menduduki tempat kedua.

Dia mengecapi gelaran PGM pertamanya apabila menjuarai Kejohanan Tertutup PGM Melaka di Tiara Melaka Golf & Country Club pada 23 hingga 26 Ogos.

Shahriffuddin memulakan musim ini dengan meraih tempat kedua di Kejohanan Tertutup PGM Johor pada 28 Februari hingga 3 Mac, namun pada Kejohanan Tertutup PGM Port Dickson pada hujung minggu lalu, beliau sekadar menamatkan saingan di tempat ke-27.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Mac 2018 @ 9:43 PM