PAUL Pogba (kiri) menyatakan ia pasti menarik untuk bermain dengan Neymar di PSG.
PAUL Pogba (kiri) menyatakan ia pasti menarik untuk bermain dengan Neymar di PSG.

PEMAIN tengah Manchester United, Paul Pogba menyatakan ia pasti menarik untuk bermain dengan Neymar di Paris Saint-Germain, yang dianggapnya sebagai “kegembiraan sejati di tengah padang” dalam satu temu ramah dengan saluran sukan Argentina, semalam.

“Neymar adalah takrifan kepada kegembiraan di tengah padang,” kata pemain kebangsaan Perancis itu kepada saluran TyC Sports.

“Apabila saya lihatnya di tengah padang, dia seronok bermain, dengan tekniknya, keupayaannya dan semua itu.

“Saya seronok menyaksikannya bermain. Dia seorang pemain berbeza, dia mempunyai gaya tersendiri. Jika satu hari nanti saya bermain dengannya, ia pasti menyeronokkan.”

Neymar pernah berkata pada 2016, dia mengagumi gaya Pogba dan mahu bermain di sampingnya.

Pogba, yang kembali menyertai United pada 2016 dengan bayaran rekod dunia ketika itu £89 juta (RM489 juta), kini kurang dipedulikan pengurus Jose Mourinho, mencetus spekulasi mengenai masa depannya.

Jurulatih Perancis, Didier Deschamps berkata “beliau tidak gembira” dengan situasi semasanya di Old Trafford selepas pemain berusia 25 tahun itu menyertai skuadnya bagi aksi persahabatan menentang Colombia awal pagi Sabtu ini.

Neymar, yang menyertai PSG dengan rekod dunia 222 juta euro (RM1.06 bilion) dari Barcelona tahun lalu, mengalami patah tulang kaki kanan pada perlawanan menentang Marseille bulan lalu. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Mac 2018 @ 9:26 AM