TOTO Wolff memberi amaran satu siri perlumbaan yang mampu menyaingi Formula Satu boleh menjadi satu kemungkinan ‘realistik’.

MELBOURNE: Bos Mercedes, Toto Wolff memberi amaran satu siri perlumbaan yang mampu menyaingi Formula Satu boleh menjadi satu kemungkinan ‘realistik’ jika pemegang saham kejuaraan itu gagal meletakkan Ferrari dalam visi jangka panjang sukan itu.

Pengerusi Ferrari, Sergio Marchionne mengancam pasukannya akan menarik diri sekiranya pemilik F1 dari Amerika Syarikat, Liberty Media meneruskan perancangan bagi enjin lebih ringkas dan pengagihan semula hadiah wang selepas kontrak tamat pada 2020.

Beberapa hari sebelum perlumbaan pembuka tirai musim Grand Prix Australia, Wolff berharap pemain utama sukan itu boleh membentuk satu konsensus mengenai masa depan namun memberi amaran supaya tidak membangkitkan kemarahan Ferrari.

“Perspektif untuk melakukan sesuatu yang berbeza adalah realistik dan ia boleh berlaku jika kami tidak mecapai kata persetujuan mengenai visi kami,” kata warga Austria itu.

“Marchionne mempunyai visi jelas mengenai apa patut Ferrari lakukan dalam Formula Satu, yang mana ia satu sukan sebenarnya dan bukannya saluran jualan langsung. Saya menggesa semua pemegang saham dalam sukan ini supaya jangan sesekali mencetuskan kemarahannya.

“Saya bersetuju dengan kebanyakan perkara yang diperkatakan Sergio kerana Formula Satu mempunyai DNA tertentu dan ia sukan yang perlu kekal dengan asal usulnya.

“Jadi, jangan bertelingkah dengan Sergio Marchionne. Formula Satu perlukan Ferrari lebih banyak berbanding Ferrari perlukan Formula Satu.”

Sekalipun mereka bermusuh di litar, Ferrari dan pasukan juara Mercedes menjalinkan hubungan baik di luar litar dari segi urusan kewangan dan enjin - membekalkan enam daripada 10 pasukan dalam siri itu. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Mac 2018 @ 11:33 AM