E ELAVARASAN
Devinder Singh


BEKAS jurulatih kelab PKNS FC, E Elavarasan memenangi tuntutan berjumlah lebih setengah juta ringgit terhadap pasukan Liga Super berkenaan.

Elavarasan digantikan sebagai ketua jurulatih ketika kelab berkenaan bergelut untuk mengelak daripada penyingkiran pada saingan Liga M musim lalu.

Jawatankuasa Status Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), hari ini bersetuju dengan tuntutan yang dikemukakan Elavarasan terhadap PKNS FC dan mengarahkan kelab berkenaan untuk membayarnya RM450,000 sebagai pampasan kestabilan kontrak untuk baki kontraknya serta bayaran ketika pelantikannya yang belum dibayar sebanyak RM60,000.

Pengerusi Jawatankuasa Status FAM, Joehari Ayub berkata PKNS diberikan tempoh sehingga 22 April ini untuk menjelaskan tuntutan itu atau kelab berkenaan perlu berdepan dengan Jawatankuasa Disiplin.

Elavarasan yang menegaskan akan menilai semua pilihannya selepas menerima surat pelepasan rasmi daripada PKNS berkata tuntutan berkenaan termasuk cukai pendapatan dan pembayaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja.

“Saya akan mempertimbangkan apa yang akan saya lakukan selepas ini selepas diberitahu mengenai keputusan ini secara rasmi dan mendapat pelepasan dari PKNS,” kata Elavarasan yang membawa PKNS ke kancah Liga Super tahun lalu dari Liga Perdana 2016.

Pemain tengah, Brendan Gan juga berjaya dalam tuntutannya berjumlah RM100,000 terhadap tunggakan bayaran gaji oleh Kelantan.

Brendan meninggalkan Kelantan pada penghujung 2016 selepas pemain itu, yang kini menyertai Perak mengalami kecederaan anterior cruciate ligament ketika beraksi bersama pasukan kebangsaan, tiga bulan sebelum itu sekali gus menamatkan kontrak tiga tahun bersama pasukan Liga Super berkenaan.

Kelab Liga Perdana, Kuantan FA juga diarahkan untuk membayar gaji tertunggak kepada 15 bekas pemainnya membabitkan keseluruhan RM423,000.

Joehari berkata Kuantan FA juga berdepan risiko untuk dikenakan tindakan disiplin jika mereka tidak menyelesaikan masalah tunggakan gaji itu dalam tempoh 30 hari.

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Mac 2018 @ 8:47 PM