CHENG Hoe pada sesi latihan skuad Harimau Malaya di padang bola Wisma FAM . -Foto HAFIZ SOHAIMI
Syafiq Aznan


“KALAU begitu, lebih baik kita pilih kesebelasan utama skuad kebangsaan mengikut undian peminat selepas ini!,” kata pengkritik bola sepak negara, Serbegeth Singh.

Itu reaksi bekas pemain kebangsaan berkenaan apabila diminta mengulas tindakan pengendali skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe yang ‘tunduk’ dengan asakan peminat apabila menggugurkan 14 pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) menjelang aksi terakhir Kelayakan Piala Asia 2019 bertemu Lubnan di Beirut, Selasa ini.

Justeru, bekas kapten pasukan Kuala Lumpur itu mengingatkan Cheng Hoe supaya tidak ‘goyang’ terhadap permintaan peminat yang suka mendesak, apatah lagi ketika skuad Harimau Malaya berdepan kemarau kemenangan yang menyaksikan mereka terus gagal mencipta kemenangan dalam 11 perlawanan setakat ini.

“Cheng Hoe seharusnya lebih tegas dan ada pendirian terhadap perancangan yang mahu direncanakan terhadap pasukan kebangsaan. Sebagai pengendali skuad kebangsaan, sudah tentu dia mampu membuat keputusan sendiri tanpa dipengaruhi mana-mana pihak.

“Pada pandangan saya, alasan menggugurkan pemain JDT atas desakan peminat adalah tidak wajar dan pelik. Siapa jurulatih skuad kebangsaan ketika ini, Cheng Hoe ataupun penyokong?” soalnya ketika dihubungi hari ini.

Semalam, bekas jurulatih Kedah itu membuat keputusan mengejut apabila ‘menyingkirkan’ 14 pemain skuad Harimau Selatan yang dipanggil untuk aksi persahabatan menentang Mongolia dengan alasan mahu memenuhi kehendak peminat.

Tindakan drastik itu diambil selepas beliau menerima kritikan hebat penyokong apabila Harimau Malaya yang dibarisi sembilan pemain JDT hanya mampu mencatat keputusan seri 2-2 dengan Mongolia.

Susulan itu, Cheng Hoe memanggil sembilan pemain - Zaquan Adha Abd Radzak (Kuala Lumpur), Shahrel Fikri (PKNP FC), Jafri Firdaus Chew, Shahril Saari (PKNS FC), R Kogileswaran (Pahang), Nor Hakim Hassan, Nazirul Naim Che Hashim, Syazwan Zaipol (Perak) dan Syawal Nordin (Kedah) - bagi menggantikan mereka.

Mengulas lanjut pengguguran pemain JDT yang sembilan daripadanya membarisi kesebelasan utama pada aksi bertemu Mongolia, Khamis lalu, Serbegeth mengakui Cheng Hoe bakal berdepan cabaran untuk membentuk skuad bertemu Lubnan memandangkan aksi persahabatan sebelum ini menjadi sia-sia.

“Sepatutnya, aksi bertemu Mongolia dijadikan kayu pengukur untuk melihat kelemahan sebagai persediaan bertemu Lubnan. Namun, sebaliknya berlaku apabila pemain JDT tiada dalam skuad untuk ke Lubnan sekali gus menyebabkan Cheng Hoe perlu menilai semula kesebelasan terbaiknya.

“Sebab itulah pengurusan skuad kebangsaan perlu memiliki satu perancangan dan matlamat yang jelas. Tidak perlu melakukan perubahan secara mendadak dengan alasan untuk melakukan sistem penggiliran,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Mac 2018 @ 5:44 PM