MOHD YUSOFF MAHADI
Rizar Mohd Noor


PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) masih belum membuat keputusan muktamad sama ada menerima atau menolak keputusan peletakan jawatan presidennya, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Timbalan Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi menjelaskan pihaknya akan mengadakan mesyuarat bersama semua EXCO dalam masa terdekat bagi membincangkan perkara berkenaan.

Malah, beliau mengakui sedih dengan pendirian Tunku Mahkota Johor (TMJ) untuk meninggalkan kerusi nombor satu badan induk berkenaan walaupun usaha sudah dibuat untuk memujuk Tunku Ismail menarik hasratnya sebelum ini.

Yusoff turut mengesahkan TMJ secara rasmi sudah menyerahkan surat peletakan jawatan kepada Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin selepas Kongres Tahunan Perkongsian Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP) di sini, hari ini.

“Amat terkejut dengan keputusan yang dibuat oleh Tunku Ismail dan perasaan sedih juga dikongsi semua ahli EXCO FAM. Apapun, keputusan muktamad sudah dibuat oleh Tunku Ismail.

“Sekretariat FAM akan memanggil semua EXCO untuk mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan isu peletakan jawatan Tunku Ismail dalam masa terdekat, mungkin kita akan buat minggu depan.

“Malah saya sudah berbincang dengan Datuk Hamidin dan keputusan sama ada menolak atau menerima peletakan jawatan daripada Tunku Ismail akan diketahui pada mesyuarat itu nanti,” katanya.

Tunku Ismail sudah menyatakan hasratnya untuk meletak jawatan pada 15 Mac lalu susulan prestasi buruk skuad kebangsaan yang menyaksikan ranking Harimau Malaya menjunam ke tangga 178 dunia, kedudukan terburuk dalam sejarah bola sepak negara.

Bagaimanapun hasrat itu tidak dipersetujui ramai pihak khususnya EXCO FAM yang masih mengharapkan kepimpinan Tunku Ismail untuk melakukan perubahan dalam bola sepak tanah air.

Namun, TMJ tidak berganjak dengan keputusannya apabila sekali lagi mengumumkan peletakan jawatan sebagai Presiden FAM pada sidang media selepas Kongres Tahunan FMLLP, hari ini.

Selain itu, Mohd Yusoff menjelaskan penjenamaan semula FMLLP kepada Liga Bolasepak Malaysia (MFL) lebih terarah kepada mengasingkan daripada FAM dalam usaha memastikan tiada pertindihan tugas.

“Kita kena lihat penjenamaan semula FMLLP daripada aspek positif apabila Tunku Ismail menerajui MFL maka ia akan menambah baik badan itu ke arah lebih profesional seperti apa yang berlaku di Liga Perdana Inggeris (EPL) dan Liga Sepanyol (La Liga).

“Ia penting terutama dari segi penajaan apabila ia mampu dikomersilkan dengan lebih maksimum dan kita yakin dengan kepimpinan Tunku Ismail untuk menarik lebih ramai penaja, sekali gus menambah kewangan dan pasukan yang bertanding akan dapat lebih dana,” katanya. 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Mac 2018 @ 6:20 PM