PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Bibi Ramjani Ilias Khan meluahkan rasa syukur selepas MFL beri pengurangan denda terhadap KAFA. - Foto Fathil Asri
Attirmidzie Rahman


PERSATUAN Bolasepak Kelantan (KAFA) lega apabila rayuan denda terhadap mereka dikurangkan Liga Bolasepak Malaysia (MFL).

Presiden KAFA, Bibi Ramjani Ilias Khan berkata, perkembangan positif yang diterima pihaknya sedikit memberi kelegaan selain ia turut memberi pengajaran berguna buat pengurusan.

“Kami tetap bersyukur masih dapat peluang untuk memperbaiki lagi kesilapan lalu dan pengurangan denda MFL itu sedikit sebanyak melegakan kami.

“Namun KAFA akan terus berusaha sebaik mungkin untuk memperkemaskan lagi pengurusan selain belajar daripada kesilapan supaya perkara sama tidak berulang.

“Kami akui kesilapan sebenar semua ini berpunca daripada kurangnya pemahaman jelas dan individu yang bertanggungjawab dalam soal ini tidak melaksanakan apa yang diperlukan MFL secara lebih sempurna walaupun sudah berkali-kali peluang diberikan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Terdahulu, Kelantan antara empat pasukan Liga Super yang dikenakan denda sebanyak RM1.5 juta, mendapat pengurangan hingga 67 peratus apabila hanya dikenakan denda sebanyak RM500,000 sementara enam lagi pasukan Liga Perdana yang didenda RM500,000 turut dikurangkan kepada RM200,000.

“Terima kasih juga kerana MFL masih memberi geran sebanyak RM1 juta dan bantuan yang kami terima itu walaupun ia tidak banyak tapi tetap dikira membantu.”

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Mac 2018 @ 7:30 PM