PERMAIN Kelantan, Norfarhan Mohamad sambut baik peraturan ketua jurulatih baharu, Fajer Ibrahim. - Foto Zunnur Al Shafiq
Attirmidzie Rahman


PERATURAN yang diwujudkan ketua jurulatih Kelantan, Fajer Ibrahim termasuk larangan membawa telefon pintar pada sesi latihan dan hari perlawanan mampu memantapkan skuad itu dalam mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga-M) selepas ini.

Penyerang Norfarhan Mohamad menyambut baik kehadiran jurulatih dari Syria itu yang mengadakan peraturan tertentu bagi membentuk amalan baharu dalam pasukan.

“Pertama sekali bagi saya kehadiran Fajer lebih meningkatkan tahap disiplin dalam pasukan yang sepatutnya perlu diterapkan dalam diri setiap pemain.

“Apabila pemain mempunyai disiplin, ia secara tidak langsung memberi kesan baik kepada pasukan serta memupuk amalan sepasukan.

“Bermain secara sepasukan penting kerana setiap pemain perlu ikut apa yang dimahukan jurulatih dan pasukan.

“Sebagai pemain, amalan atau sifat individu sebenarnya tidak boleh diamalkan kerana itu hanya boleh mengurangkan keserasian antara rakan pasukan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Fajer yang diberi kuasa sepenuhnya mengemudi The Red Warriors (TRW) memperkenalkan peraturan tertentu termasuk larangan membawa telefon bimbit pada sesi latihan dan hari perlawanan.

Selain peraturan itu, beberapa peraturan lain sudah diberitahu dalam bentuk notis kepada pemain dan sekiranya pemain melanggar peraturan itu, mereka boleh dikenakan denda wang tunai.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Mac 2018 @ 9:04 PM