TIMBALAN Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Mohd Yusoff Mahadi. - Foto Hasbullah Azhar
TIMBALAN Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Mohd Yusoff Mahadi. - Foto Hasbullah Azhar
Zulfaizan Mansor


TIMBALAN Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Mohd Yusoff Mahadi menegaskan beliau tidak terasa hati walaupun Tunku Ismail Sultan Ibrahim mencadangkan Datuk Hamidin Mohd Amin sebagai presiden baharu badan induk berkenaan.

Tunku Ismail menyifatkan Hamidin yang juga Setiausaha Agung FAM sebagai individu paling layak menerajui badan induk itu selepas beliau secara rasmi melepaskan jawatan nombor satu itu semalam.

Sambil mengakui beliau belum sampai tahap untuk menjadi Presiden FAM, Yusoff turut menzahirkan sokongan penuh kepada Hamidin untuk bertanding merebut jawatan di kerusi panas itu.

“Tiada sebab untuk saya berkecil hati atau sebagainya. Saya sokong sepenuhnya (kenyataan Tunku Ismail mencalonkan Hamidin). Jawatan yang ada sekarang pun sudah banyak kerja, nak jadi presiden bukan tahap saya lagi.

“Hanya jawatan yang kosong sahaja akan dipertandingkan dalam mesyuarat agung nanti, bukan bertanding semua jawatan semula. Maknanya kalau saya nak bertanding saya kena letak jawatan dulu (sebagai Timbalan Presiden). 

“Apa yang penting, siapa yang jadi presiden mesti ada hubungan baik dengan Tunku Ismail sebab beliau Pengerusi Liga Bolasepak Malaysia (MFL). Sebab itu Tunku Ismail syorkan orang yang boleh dan selesa bekerja bersama dengan beliau terajui FAM,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Selain mencadangkan nama Hamidin sebagai calon paling layak dipilih sebagai presiden baharu, Tunku Ismail juga mengesyorkan Yusoff sebagai pemangku presiden sehingga kongres ke-54 FAM pada 14 Julai depan.

Mengulas lanjut, Yusoff bagaimanapun menjelaskan segala keputusan mengenai siapa yang akan menjadi pemangku presiden akan diputuskan pada mesyuarat EXCO FAM pada Isnin ini.

“Tunku Ismail hanya mengesyorkan nama saya, tapi segala keputusan akan dibuat dalam mesyuarat itu nanti dan exco akan putuskan siapa yang perlu dilantik.

“Begitu juga isu peletakan jawatan Tunku Ismail, walaupun beliau sudah menghantar surat peletakan jawatan secara rasmi, tapi exco akan putuskan sama ada menerima atau menolak.

“Kalau saya dipilih sebagai pemangku presiden sekali pun, saya fikir tiada apa-apa masalah dan hanya akan mengikut segala program yang sudah dibuat Tunku Ismail sebelum ini sementara menanti kongres pada Julai nanti,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Mac 2018 @ 9:26 PM