KETUA jurulatih Jerman, Joachim Loew tak akan turunkan barisan terkuat pada aksi persahabatan, awal pagi Rabu ini. - Foto EPA-EFE

JUARA dunia, Jerman tidak akan beraksi dengan kekuatan sebenar ketika menanti kunjungan Brazil bagi aksi persahabatan antarabangsa, awal pagi Rabu ini.

Ia berikutan ketua jurulatih, Joachim Loew merancang untuk membariskan ‘barisan keduanya’ sebagai ujian menjelang Piala Dunia di Russia.

Kali terakhir kedua-dua pasukan bertemu adalah pada Piala Dunia 2014 apabila Jerman membuat kejutan dengan menewaskan tuan rumah, Brazil 7-1 di peringkat separuh akhir.

Begitupun, tidak ramai yang menjangkakan pertemuan kali  ini akan berlangsung dengan cukup mengujakan apabila kedua-dua pasukan kehilangan beberapa tonggak selain sedang sibuk memikirkan perancangan bagi menghadapi Piala Dunia yang bermula Jun ini.

Brazil yang hanya tewas sekali daripada 17 perlawanan sejak dikendalikan Tite kehilangan khidmat Neymar manakala Jerman akan beraksi tanpa Mesut Ozil, Thomas Mueller, Manuel Neuer serta beberapa lagi pemain utama.

Pemain tengah, Emre Can juga diketepikan akibat kecederaan belakang manakala Sami Khedira juga dijangka tidak bermain selepas mengalami kecederaan kecil ketika pertemuan dengan Sepanyol, Sabtu lalu.

Malah penjaga gol Barcelona, Marc Andre ter Stegen yang menjadi tonggak Jerman bagi mengawal gawang mereka sejak ketiadaan Neuer turut diberikan rehat.

Loew berkata dia melihat pertemuan dengan Brazil kali ini sebagai peluang untuknya melakukan eksperimen berbanding perlawanan ulangan empat tahun lalu.

“Marc akan diberikan rehat kerana dia mempunyai isu di bahagian lutut dan mungkin bagus untuk memberinya rehat selama beberapa hari,” kata Loew.

“Bagi kami perlawanan kali ini tidak mempunyai peranan yang besar seperti di Brazil. Kekecewaan jelas besar, terutama kepada tuan rumah.

“Kini Brazil mungkin berfikir untuk membalas dendam tetapi kamu tidak boleh melakukannya kerana kamu tidak boleh membawa kembali perlawanan separuh akhir. Tetapi Brazil sudah meningkat.”

Sejak Tite mengambil alih tugas selaku ketua jurulatih pada 2016, satu-satunya kekalahan yang dicatat Brazil adalah ketika bertemu Argentina pada aksi persahabatan.

“Mereka bertambah baik. Mereka memperbaiki diri mereka sejak dua atau tiga tahun lalu. Mereka amat disiplin, mereka bertahan dengan baik dan jentera serangan mereka antara terbaik di dunia,” kata Loew. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Mac 2018 @ 10:54 PM