KETUA jurulatih Brazil, Tite ketika sesi latihan menjelang aksi persahabatan menentang Jerman awal pagi Rabu ini. - Foto EPA-EFE
KETUA jurulatih Brazil, Tite ketika sesi latihan menjelang aksi persahabatan menentang Jerman awal pagi Rabu ini. - Foto EPA-EFE

JURULATIH Brazil, Tite berkata ‘hantu’ kekalahan memalukan 1-7 kepada Jerman pada Piala Dunia 2014 masih membayangi ‘Selecao’, ketika kedua-dua gergasi itu dijadual bertemu pada awal pagi Rabu ini.

Brazil mengharungi kekalahan terbesar di laman sendiri apabila Jerman meledak empat gol dalam tempoh 30 minit pertama perlawanan separuh akhir di Belo Horizonte kira-kira empat tahun lalu.

Toni Kroos dan Andre Schuerrle masing-masing menjaringkan dua gol dalam tempoh 90 minit yang menyaksikan Jerman melangkah ke final sebelum dinobat juara dunia.

Kedua-dua pasukan sekali lagi bertemu dalam aksi persahabatan buat pertama kali di Stadium Olimpik Berlin dan Tite berkata parut luka kekalahan Brazil itu masih lagi berdarah.

“Secara psikologi ia mempunyai makna yang amat besar, tiada sesiapapun perlu menipu diri mereka mengenainya,” kata Tite kepada majalah Jerman, Kicker.

“Keputusan kekalahan 7-1 di Piala Dunia adalah seperti hantu. Ia masih wujud, orang masih bercakap mengenainya, tetapi lebih banyak kami berkata mengenainya, lebih kurang ‘hantu’ ini akan hilang.

“Ia bukan saja menjadi satu lagi cabaran membabitkan sukan, tetapi juga cabaran dari sudut emosi yang  besar.

“Kami bersedia untuk memberikan persembahan terbaik kami, dan ia penting tetapi sudah tentu saya mahukan keputusan yang baik.”

Felipe Scolari menjadi jurulatih ketika Brazil dimalukan Jerman dengan mula mengambil alih tugas pada 2016.

“Saya menonton perlawanan di rumah saya di Sao Paulo  bersama isteri dan selepas gol ketiga, dia mula menangis,” kata Tite yang kini berusia 56 tahun.

“Ia adalah tempoh inspirasi yang hebat untuk Jerman, setiap cubaan menjadi gol. Perkara seperti itu tidak berlaku sekali pun dalam permainan video. 

“Kadang-kala kamu memperolehnya dalam bola sepak, satu pasukan menghampiri kesempurnaan dan itulah yang berlaku kepada Jerman. Luka masih terbuka dan perlawanan di Berlin adalah sebahagian daripada proses untuk menutupnya.” - AFP

 

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Mac 2018 @ 11:31 PM