LOEW (dua dari kanan) sedang berbincang dengan pemainnya. FOTO/AFP
LOEW (dua dari kanan) sedang berbincang dengan pemainnya. FOTO/AFP
AFP

BERLIN: Ketua jurulatih Jerman, Joachim Loew menolak spekulasi yang mengatakan beliau akan mengendalikan Bayern Munich musim depan tatkala pendahulu Bundesliga itu sedang memburu pengganti Jupp Heynckes.

Loew, 58, yang memiliki kontrak bersama Persatuan Bolasepak Jerman sehingga 2020 secara tegas menafikan khabar angin yang mengaitkannya dengan kelab gergasi berkenaan.

“Ia sememangnya bukan subjek untuk saya,” kata Loew kepada penyiar, ZDF ketika Jerman dijadual bertemu Brazil bagi aksi persahabatan, awal pagi ini.

 LOEW (kanan) sedang memantau persiapan anak buah. FOTO/AFP
LOEW (kanan) sedang memantau persiapan anak buah. FOTO/AFP

Kurang tiga bulan sebelum Piala Dunia membuka tirainya, Loew berkata dia mempunyai “banyak perkara lain untuk dibimbangkan” berbanding Bayern.

Gergasi Bavarian itu ketika ini sedang memburu jurulatih baharu bagi musim 2018/19 ketika Heynckes, 72, belum lagi menyatakan pendiriannya dengan jelas sama ada beliau mahu terus bertugas, musim depan.

Selepas 12 tahun melakar kejayaan bersama skuad kebangsaan, Bayern jelas pilihan yang realistik bagi Loew jika Jerman mengharungi kempen Piala Dunia yang gagal.

Di bawah kendalian Loew, Jerman sentiasa melangkah sekurang-kurangnya peringkat separuh akhir dalam kejohanan besar.

Kejayaan terbaiknya adalah ketika menjulang Piala Dunia pada 2014 tetapi beliau turut memenangi Piala Konfederasi tahun lalu bersama skuad kurang berpengalaman.

Ketika ini, Bayern tanpak kekurangan pilihan dalam pemburuannya untuk mencari pengganti Heynckes dengan bekas pengurus Borussia Dortmund, Thomas Tuchel dilaporkan sudah menolak tawaran terhadapnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Mac 2018 @ 10:29 PM