ANTONIO Ruediger (kiri) mengekang penyerang Brazil, Jesus pada aksi persahabatan di Berlin, sebentar tadi. - Foto AFP
AFP

BERLIN: Gabriel Jesus meledak gol kemenangan ketika Brazil membalas memori kekalahan mereka pada Piala Dunia 2014 kepada Jerman menerusi kemenangan 1-0 di Berlin sebentar tadi.

Gol babak pertama Jesus di Stadium Olimpik Berlin dipenuhi 72,717 penyokong memastikan Brazil menamatkan rentetan tanpa kalah Jerman dalam 22 perlawanan yang berlanjutan sejak separuh akhir Euro 2016 di tangan tuan rumah, Perancis.

Lebih membimbangkan ketua jurulatih Jerman, Joachim Loew menjelang usaha mempertahankan Piala Dunia milik mereka di Russia, kapten Jerome Boateng mengalami kecederaan di pergelangan kaki kanan dan terpaksa dikeluarkan pada babak kedua.

Kemenangan itu memastikan Brazil berupaya membalas dendam mereka dengan jurulatih Tite mengakui mereka masih dihantui kekalahan 7-1 di tangan Jerman pada separuh akhir Piala Dunia sebelum ini.

“Ia berkaitan maruah, ianya sudah tertulis,” kata pertahanan Brazil, Thiago Silva.

“Jersi ini berhak mendapat lebih penghormatan. Kerana itu saya gembira menang mengatasi lawan yang kuat.”

Juara bertahan Piala Dunia, Jerman kini tanpa kemenangan dalam empat perlawanan selepas seri berdepan England, Perancis dan Sepanyol.

“Ia memang sudah dijangkakan ketika bertemu Brazil, dengan jiwa mereka yang cedera, bermain dengan pasukan terbaik mereka dan sangat bermotivasi,” kata Loew.

“Ia bukan hari kami. Kami melakukan terlalu banyak kesilapan, yang membenarkan Brazil untuk meningkatkan kekuatan dan keyakinan.

“Kami memiliki beberapa pemain muda yang akan belajar daripada ini, tetapi sebagai tambahan, ada bahasa badan yang tidak betul pada sebahagian pemain.”

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Mac 2018 @ 6:52 AM