PEMAIN Mesir, Ramadan Sobhi (kiri) bersaing dengan pemain Greece, Michalis Bakakis pada aksi persahabatan di Zurich, awal pagi tadi. - Foto REUTERS
AFP

JOHANNESBURG: Penjaring prolifik Liverpool, Mohamed Salah hanya memanaskan bangku simpanan ketika pasukannya, Mesir tewas di tangan Greece 1-0 dalam aksi persahabatan, awal pagi tadi.

Tunisia dan Maghribi pula menang kali kedua tetapi Nigeria tewas selepas menang minggu lalu sementara Senegal seri 0-0 ketika menentang Bosnia.

Pemain Terbaik Tahunan Afrika, Salah menjaringkan 36 gol daripada 41 penampilan bersama Liverpool musim ini, hanya 11 gol kurang daripada rekod dilakukan legenda The Reds, Ian Rush.

Bagaimanapun, keputusan jurulatih Mesir, Hector Cuper merehatkan Salah dalam aksi di Zurich itu menyaksikan skuadnya gagal menyerlah.

Jaringan kemenangan Greece hadir pada minit ke-29 melalui tandukan Nikos Karelis yang tidak dikawal selepas mendapat hantaran lintang daripada sebelah kiri padang.

Greece menguasai permainan pada babak kedua permainan berbanding juara tujuh kali Afrika itu yang kembali menyertai Piala Dunia selepas 28 tahun.

Salah menjaringkan gol ketika menentang juara Eropah, Portugal Jumaat lalu sebelum penyerang sensasi, Cristiano Ronaldo memperolehi dua gol pada minit kecederaan untuk menang 2-1.

Tunisia yang kembali ke Piala Dunia selepas gagal layak dalam kejohanan sebelum ini menewaskan Costa Rica, 1-0 di Nice.

Pemain Sunderland,Wahbi Khazri yang dipinjamkan ke kelab Rennes di Ligue 1 muncul wira dengan menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-35.

Dalam perlawanan sebelum itu, mereka menang 1-0 ke atas Iran hasil jaringan gol sendiri pemain lawan.

Sementara itu, Ayoub el Kaabi yang menjaringkan sembilan gol dalam Kejohanan Piala Negara Afrika lalu menjaringkan gol pembukaan ketika Maghribi menewaskan Uzbekistan 2-0 di Casablanca.

Kejayaan Singa Atlas itu adalah yang kedua selepas menewaskan Serbia di Turin minggu lalu sekali gus mengekalkan rekod cemerlang di bawah kendalian jurulatih dari Perancis, Herve Renard.

Nigeria pula yang melakukan kejutan dengan menewaskan Poland minggu lalu gagal mengekalkan momentun apabila tewas 2-0 di tangan Serbia di London. Kedua-dua gol Serbia dijaringkan Aleksandar Mitrovic.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Mac 2018 @ 10:00 AM