ADA diantara pemain Kuantan FA sudah meninggalkan pasukan kerana berang dengan sikap pihak pengurusan. -Foto fail
Malik Muhamad


KEBIJAKSANAAN Persatuan Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) ditagih pemain Kuantan FA bagi menyelesaikan kemelut tunggakan gaji yang sudah berlarutan selama tiga bulan sejak Januari lalu.

Pemain pertahanan Kuantan FA, Abdul Ghani Rahman, 33, berkata, pemain menyerahkan kepada PFAM berkaitan isu tunggakan gaji itu sambil berharap akan menemui jalan penyelesaian dan khabar gembira dalam masa terdekat selepas sekian lama menunggu.

“Campur tangan dan kebijaksanaan pihak PFAM untuk menyelesaikan isu tunggakan gaji ini ditagih dan berharap dapat diselesaikan dengan seberapa segera kerana ia sudah terlalu lama sehingga ada antara pemain kian terdesak untuk menguruskan kehidupan seharian dengan lebih baik kerana tidak mempunyai sumber kewangan mencukupi .

“Oleh itu, semua pemain sudah menghantar surat mengenai isu tunggakan gaji itu kepada PFAM dua minggu lalu selain isu ini sudah berada dalam pengetahuan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM),” kata Ghani yang kini mempunyai lesen jurulatih Kelas B.

“Paling terjejas adalah pemain muda yang baharu menyertai pasukan dan mempunyai masa depan yang cerah kerana mereka tidak mempunyai sumber kewangan dan simpanan yang kukuh selepas gaji tidak bayar.

“Namun saya tetap memuji semangat mereka sama ada pemain berpengalaman ataupun pemain muda kerana masih mampu mempamerkan aksi terbaik buat pasukan biarpun terpalit isu tunggakan gaji,” katanya.

Semalam Sukan NSTP melaporkan pemain skuad itu kini hidup ‘mengemis’ selain ada di antara mereka sudah meninggalkan pasukan kerana berang dengan sikap pihak pengurusan yang tidak menepati janji.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Mac 2018 @ 12:49 PM