PEMAIN Jerman, Toni Kroos (kiri) diasak pemain Brazil, Paulinho pada aksi persahabatan di Berlin. - Foto AFP

BERLIN: Toni Kroos menuding jari menyalahkan rakan sepasukan susulan kekalahan Jerman kepada Brazil tetapi jurulatih, Joachim Loew bertegas skuad kendaliannya akan bersedia menghadapi Piala Dunia.

Selepas Jerome Boateng tampil mengkritik dengan berkata ‘segala-galanya’ perlu diperbaiki selepas keputusan seri 1-1 dengan Sepanyol, minggu lalu, Kroos melakukan perkara sama selepas kekalahan 0-1 di Berlin, semalam.

Jerman yang tampak beraksi di bawah tahap sebenar tumbang menerusi jaringan pada babak pertama Gabriel Jesus sekali gus menamatkan deretan 22 perlawanan tanpa kalah sejak kekalahan di separuh akhir Euro 2016.

“Kami memiliki beberapa pemain di atas padang yang berpeluang untuk membuktikan diri di tahap ini tetapi mereka tidak menggunakannya,” kata Kross.

“Kami membenarkan diri kami diarah ke sana sini dan kemudian kami dapat lihat yang kami tidak sebagus yang kami sering diberitahu, dan mungkin beberapa daripada berfikir demikian.

“Ia jelas tidak cukup daripada kami semua.”

Sebelum mencatat keputusan seri dengan Sepanyol, Jerman turut diikat Perancis dan England sekali gus gagal mencatat kemenangan dalam empat perlawanan terakhir ketika Piala Dunia hanya berbaki kurang tiga bulan.

Begitupun, ketika Brazil menyenaraikan hampir semua pemain tonggak kecuali Neymar, Loew terpaksa menggunakan ‘skuad kedua’ tetapi mereka tidak menggunakan peluang itu dengan sebaiknya.

Hanya dua pemain yang menjulang trofi Piala Dunia di Brazil, empat tahun lalu - Kroos dan kapten pasukan, Boateng disenaraikan dalam kesebelasan utama menentang skuad Selecao.

Sekali pun mengakui pasukannya “beraksi amat buruk di setiap posisi”, Loew jelas belum mahu menekan butang panik,

“Tidak, saya bimbangkan perkara lain kerana saya tahu apa kemampuan pasukan ini,” kata Loew.

“Kamu tidak mahu tewas perlawanan seperti itu, tetapi saya boleh menerima keputusan dan kami perlu bekerja amat keras untuk tiga ke empat mata.” - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Mac 2018 @ 1:09 AM